Paklong Titi Mega cuma nak bantu kawan

Paklong Titi Mega cuma nak bantu kawan

am@hmetro.com.my

Jitra: “Niat saya hanya untuk berhibur sambil bantu kawan-kawan berniaga, tetapi syukur alhamdulillah, ramai yang suka, ” kata Fazil Harun, 60.

Gayanya yang bersahaja dengan memakai baju kelawar sambil berhibur menjual durian menarik minat orang ramai untuk membeli 12 tan raja buah itu di Kepala Batas, di sini, semalam.

Dia yang lebih mesra dipanggil Pak Long Titi Mega itu tidak menyangka sambutan jualan lelongan durian yang diadakan semalam lebih mendapat sambutan berbanding kelmarin.

Katanya, penampilannya yang santai itu juga menjadi tarikan tambahan kepada pelanggan yang singgah membeli raja buah berkenaan.

“Sebelum ini saya pernah tular di media sosial ketika menjual martabak di bazar Ramadan Stadium Darul Aman pada bulan puasa lalu dan itu cara saya bantu lariskan jualan.

“Pada hari biasa, saya hanya menjual pisang goreng di hadapan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) tetapi disebabkan cuaca selalu hujan, saya buat macam inilah.

“Ramai yang bergurau mengenai baju kelawar yang saya pakai. Saya selesa berpakaian begini ketika berniaga dan tidak sangka ia menjadi perhatian pelanggan,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, peniaga durian, Muhammaf Azizi Azizan berkata, dia mengadakan jualan lelong durian di situ dengan harga murah kerana mahu memberi kepuasan kepada pelanggannya.

Katanya, jualan lelong itu diadakan sejak Khamis lalu dan lebih 20 tan durian sudah terjual setakat ini termasuk durian Musang King, durian duri hitam, durian kampung, udang merah serta IOI.

“Ada pelanggan yang datang dari Perlis dan sekitar negeri ini menunggu seawal jam 2.30 petang dan kami mula menjual durian pada jam 4 petang setiap hari dan ada durian habis dalam tempoh tak sampai sejam terutamanya Musang King,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top