
Sanusi ketika Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pas di Kompleks Pas pada Jumaat.Foto: Media Pas Kedah
ALOR SETAR – Empat negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis (SG4) dijangka mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) serentak sebagai langkah strategik memperkukuh momentum politik selain menjimatkan kos penganjuran.
Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perkara itu pernah dibincangkan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Harapan saya PRN dan PRU16 diadakan serentak jadi tak perlu buat kerja banyak, akan ambil masa, banyak kos dapat dijimatkan dan memudahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Saya biasa sembang dengan Perdana Menteri…saya tanya bila, dia kata boleh bincang,” katanya ketika Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pas di Kompleks Pas di sini pada Jumaat.
Hadir sama merasmikan pelancaran, Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Muhammad Sanusi berkata, jentera Pas kini sentiasa berada dalam keadaan kesiapsiagaan sekiranya PRU16 diumumkan pada bila-bila masa.
“Kita ada setahun lagi nak sampai November 2027 (tempoh matang) pelancaran malam ini naik semangat, menentukan arah politik simpang siur, kita nak bagitau, Pas seminit pun tak lemah.
“Setakat ini, kita akan bantu PRN Johor, Negeri Sembilan dan Melaka…Melaka belum bubar tetapi tempoh matang Disember 2026, SPR baru tentukan dua negeri, tidak lama lagi jentera kita akan ke Melaka bila DUN bubar,” jelasnya.
SPR menetapkan PRN Johor diadakan pada 11 Julai ini sementara PRN Negeri Sembilan ditetapkan pada 1 Ogos 2026.



