am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Pelakon popular, Fattah Amin, 35, mengakui dia memang ada perancangan untuk membawa anaknya, Nur Fatima Aisya, 5, untuk bercuti ke Tokyo Disneyland pada tahun ini.
Fattah atau nama sebenarnya, Abdul Fattah Mohd Amin berkata, dia juga sudah ada tarikh untuk percutian bersama anaknya itu.
“Memang kami ada perancangan untuk bercuti bersama di Tokyo Disneyland cuma Fatima terikat dengan jadual persekolahan.
“Bila sudah tahu jadual persekolahan Fatima, barulah saya boleh merancang percutian itu.
“Sebenarnya, percutian ini akan disertai ahli keluarga termasuk kedua ibu bapa dan adik-beradik. Insya-Allah, pada tahun ini,” katanya.
Bagaimanapun, kata Fattah, perkara yang berkaitan keluarga termasuk percutian sepatutnya boleh disampaikan melalui WhatsApp.
“Cuma itulah, boleh sahaja perkara itu (berkaitan percutian bersama Fatima) disampaikan kepada saya melalui WhatsApp,” katanya ketika ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta jenama air mineral NEX di Stadium Hoki, Bukit Jalil di sini, petang tadi.
Terdahulu, tular satu video memaparkan Fatima yang meminta Fattah untuk membawanya melancong ke taman tema popular dunia, Disneyland Tokyo.
Menerusi video itu juga, Fatima turut menyatakan dia sangat menyayangi bapanya itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd