Warga asing ditahan disyaki bergaduh, seorang bergari dalam kereta

Warga asing ditahan disyaki bergaduh, seorang bergari dalam kereta

mhafis@mediaprima.com.my

Sungai Buloh: Polis menahan dua lelaki warga asing selepas bergaduh di Jalan Dinar, Taman Subang Perdana, di sini, semalam.

Malah, ketika ditahan seorang daripadanya ditemui dalam keadaan tangan bergari di dalam kereta.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai pergaduhan antara dua lelaki di kawasan terbabit jam 1.15 tengah hari.

Menurutnya, sepasukan anggota peronda yang bergegas ke lokasi kejadian menahan dua suspek lelaki berusia 26 dan 32 tahun.

“Hasil pemeriksaan mendapati seorang daripada suspek berada dalam sebuah kereta dengan keadaan bergari.

“Polis turut merampas sepasang gari, dua kereta Perodua Myvi masing-masing berwarna biru dan putih, bersama kunci kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Hafiz berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana gaduh-gempar, Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam, serta Seksyen 89 Akta Polis 1967 kerana memiliki peralatan polis tanpa kebenaran.

“Kedua-dua suspek juga disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah.

“Suspek dan barangan yang dirampas dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes dan menasihatkan sesiapa yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Hotline Balai Polis Kampung Baru Subang di talian 03-7846 2322 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Ekmal Hasif Mohd Noor di talian 011-35396787.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top