Tiada rakyat Malaysia terbabit militan warga Bangladesh – Saifuddin Nasution

Tiada rakyat Malaysia terbabit militan warga Bangladesh – Saifuddin Nasution

am@hmetro.com.my

Kuala Berang: Tiada rakyat Malaysia direkrut dalam rangkaian militan warga Bangladesh yang didedahkan baru-baru ini, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menurutnya, tangkapan seramai 36 lelaki warga Bangladesh yang disyaki terbabit dalam gerakan militan berasaskan fahaman ekstremis Islamic State (IS), baru-baru ini adalah hasil pemantauan dan perisikan sekian lama dilakukan pasukan keselamatan.

“Operasi ini sudah dijalankan April lalu, tetapi kita hanya umumkan beberapa hari lalu.

“Pada akhir penyiasatan ini, kita akan mendapat gambaran yang lebih jelas, tetapi sehingga sekarang, ternyata bahwa aktiviti itu ada berkaitan dengan keganasan.

“Selepas kita siasat kita dapat gambaran lebih jelas (apa) motif serta pelakunya, ternyata aktiviti itu ada berkaitan dengan keganasan, (namun).. setakat ini tiada rakyat Malaysia yang direkrut.

“Rakyat Bangladesh berkenaan ada motif untuk menjatuhkan kerajaan di negara asal mereka,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Kampung Angkat dan Sekolah Angkat MADANI Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), di sini, hari ini.

Saifuddin Nasution berkata, plot yang didedahkan ini hanya membabitkan kumpulan rakyat Bangladesh sahaja dan ia boleh menjadi satu ancaman kepada negara sekiranya tidak dibendung.

Katanya, jika terdapat sebarang percubaan untuk menjadikan Malaysia sebagai pangkalan bagi menggerakkan apa-apa aktiviti keganasan atas apa motif sekalipun, pihaknya akan bertindak habis-habisan.

“Pasukan keselamatan kita berada dalam keadaan siaga yang tinggi kerana jika tidak tidak dibendung, diawasi atau ditangani dengan sambil lewa, ia akan memberi kesan besar kepada keselamatan negara.

“Itu (core business) KDN. Jadi, kejayaan ini mampu untuk meningkatkan keyakinan rakyat kerana kesiapsiagaan dan keupayaan pasukan perisikan kita yang mampu mengesan aktiviti berkenaan.

“Jadi langkah yang kita ambil adalah sebahagiannya kita hantar pulang, dan sebahagiannya didakwa manakala sebahagiannya masih dalam proses,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top