Pempengaruh popular, Ameera Khan mengakui dia masih belum mendapat restu daripada bapanya mengenai hubungannya bersama aktor popular Indonesia, Jefri Nichol.
Kata Ameera, meskipun dia menyayangi Nichol, namun apa yang dilakukannya kini hanyalah berdoa dan meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada ketentuan Allah SWT.
“Saya selalu berdoa supaya Allah menjaga hubungan ini. Saya berdoa semoga Allah mempermudahkan segalanya jika Nichol adalah orangnya.
“Kerana, saya sentiasa berdoa agar dikurniakan jodoh yang terbaik di sisi Allah SWT.Saya langsung tak pernah berdoa minta yang ‘saya nak sangat lelaki ni’ dan sebagainya. Saya tak pernah macam tu.
“Saya sayangkan Nichol sangat-sangat, tetapi saya tidak mahu menentang ketentuan Tuhan. Saya percaya di atas ketentuan dan perancangan-Nya terhadap saya. Itu adalah yang pertama sekali.
“Saya sentiasa berdoa semoga Allah kurniakan saya jodoh terbaik. Dan, kalau dia (Jefri Nichol) adalah yang terbaik saya mohon supaya semuanya dipermudahkan,” katanya.
Ameera berkongsi mengenai perkara itu menerusi sesi siaran langsung di TikTok miliknya.
Mengaku bersyukur dengan hubungan yang terjalin, Ameera mendedahkan, ini adalah kali pertama hubungannya mendapat reaksi positif daripada keluarga.
“Dan, sekarang saya bersyukur, Alhamdulillah kerana saya mendapat relationship ini. Sebab Mama, kakak-kakak, adik, kawan-kawan dan semuanya menyukainya.
“Dan mereka juga suka Nichol bersama saya. Ini adalah sesuatu yang saya tak pernah rasa sebelum ini.
“Saya juga bersyukur, berterima kasih dan tidak mahu kehilangan hubungan ini .
“Daddy belum lagi, tapi soon inshaa-Allah. Saya harap. Bila bercakap pasal Daddy, ia membuatkan saya takut.
“Tapi, ini adalah sesuatu yang serius. Dan, inshaa-Allah soon, pada masa yang tepat,” jelasnya.




