am@hmetro.com.my
Sepang: Pengoperasian semula perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, bukan sahaja mempercepatkan pergerakan antara terminal, malah memberi keselesaan lebih baik kepada pengguna.
Pelancong dari Kalimantan Timur, Indonesia, Wahyu Santoso, 63, yang pertama kali bercuti ke Malaysia bersama keluarganya, menyatakan keterujaan apabila berpeluang menaiki Aerotrain yang baharu dinaik taraf itu.
“Saya sangat kagum. Ini kali pertama saya ke Malaysia dan kali pertama juga menaiki Aerotrain. Perjalanannya sangat lancar dan cepat antara terminal utama dan terminal satelit,” katanya.
Wahyu berkata, kemudahan itu bukan sahaja menjimatkan masa, malah memberi pengalaman tersendiri sepanjang berada di KLIA.
Bagi Chia Yee Kim, 26, dari Sekinchan, Selangor, yang baru pulang bercuti di Taiwan, perkhidmatan Aerotrain yang disambung semula amat memudahkan pergerakannya selepas tiba di lapangan terbang.
“Sebelum ini saya perlu naik bas untuk ke bangunan satelit dari terminal utama, sekarang sudah boleh naik Aerotrain semula. Lebih cepat dan selesa, terutama bila bawa bagasi banyak,” katanya.
Beliau berharap kemudahan itu dapat dikekalkan dengan baik memandangkan KLIA antara lapangan terbang utama negara dan tumpuan pelancong asing.
Perkhidmatan Aerotrain yang tergendala selama 28 bulan sebelum ini dinaik taraf dengan kos RM456 juta di bawah Pelan Regenerasi Lapangan Terbang oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).
Tren baharu tanpa pemandu jenis Alstom Innovia APM 300R itu kini mampu membawa sehingga 270 penumpang pada satu-satu masa, dengan perjalanan kurang tiga minit antara terminal utama dan terminal satelit.
© New Straits Times Press (M) Bhd