Kes tembak mati di Meru angkara perbalahan 2 kumpulan kongsi gelap – Ketua Polis Selangor

Kes tembak mati di Meru angkara perbalahan 2 kumpulan kongsi gelap – Ketua Polis Selangor

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Kejadian tembak yang menyebabkan kematian seorang ahli perniagaan di Meru, Klang, dekat sini, Jumaat lalu dipercayai bermotifkan perbalahan di antara dua kumpulan kongsi gelap.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya sudah menahan dua lelaki tempatan berumur 25 tahun dan 40 tahun yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes terbabit.

“Kami sudah merakam keterangan 12 saksi awam. Tangkapan dijalankan ke atas dua suspek warga tempatan di sekitar Klang pada hari yang berlainan.

“Motif kes ini adalah perbalahan antara dua kumpulan kongsi gelap, mangsa juga dipercayai ahli kongsi gelap.

“Siasatan mendapati, (kejadian ini) ada pembabitkan kongsi gelap,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.

Hussein berkata, siasatan juga mendapati, motif kejadian bukanlah tembakan secara rambang, sebaliknya ahli perniagaan yang dibunuh adalah sasaran suspek.

“Motifnya bukan (tembakan) rambang (tetapi), memang sasaran yang membabitkan perbalahan di antara dua kumpulan kongsi gelap.

“Kami masih menyiasat sama ada ia membabitkan kes perebutan kawasan, aktiviti dadah dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, mangsa ditembak oleh suspek pada jarak dekat dan pihaknya juga masih menyiasat sama ada suspek adalah ahli atau diupah oleh kongsi gelap.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun ditemukan mati dengan kesan tembakan di tempat duduk pemandu pacuan empat roda di Taman Meru Utama, Klang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top