Demi menjayakan watak dalam drama aksi Anak-Anak Mafia, pelakon Scha Elinnea sanggup berdepan risiko cedera apabila mengalami beberapa luka kecil dan kesan lebam di tangan serta kaki.
Menurut Scha, atau nama sebenarnya Nur Azleen Natasha Mohamed Mubeen, 26, kecederaan itu berpunca daripada babak pertempuran yang memerlukan dia melakukan banyak aksi lasak menggunakan tangan dan kaki.
“Banyak babak aksi yang saya perlu lakukan sendiri. Saya berlawan sambil memakai but, jadi memang kerap juga terjatuh dan tersungkur. Kebanyakan luka kecil dan lebam ini berlaku di bahagian tangan dan kaki.
“Selalunya saya berlakon dalam cerita cinta, mana nak dapat lebam-lebam macam ni,” katanya berseloroh.
Scha berkata demikian ketika ditemui di sesi bersama peminat drama Anak-Anak Mafia berlangsung di WTC Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Scha turut meluahkan rasa syukur apabila dibantu rakan-rakan pelakon lelaki seperti Mierul Aiman, Fitri Farok, Fariz Isqandar dan Zhen Ning sepanjang penggambaran.
“Saya satu-satunya pelakon wanita dalam drama ini. Mujur rakan pelakon lain banyak membantu, terutamanya ketika menjayakan babak lawan. Mereka memang banyak beri sokongan,” jelasnya.
Walaupun ini pengalaman pertama tampil dalam naskhah berunsur aksi, Scha tidak menolak untuk menerima lebih banyak watak seumpama itu pada masa depan.
“Saya anggap ia sebagai satu cabaran dan pengalaman baharu. Kalau ada lagi tawaran untuk genre aksi, saya okey saja. Seorang pelakon kena bersedia untuk pelbagai watak,” katanya.
Drama Anak-Anak Mafia kini boleh ditonton menerusi platform penstriman Tonton sejak 12 Jun lalu.