PUTRAJAYA: Isu mengenai pencen bekas bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Syed Ahmad Idid Syed Abdullah Idid terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Menurut Ketua Hakim Negara, Tun Wan Ahmad Farid Wan Salleh, isu tersebut bukan di dalam bidang kuasa kehakiman dan hanya JPA yang boleh membuat keputusan sewajarnya.
“Perkara itu melangkaui (bidang kuasa) kami (kehakiman) sebab itu di bawah bidang kuasa JPA. Beliau perlu memohon kepada JPA dan JPA akan membuat keputusan sewajarnya.
“Kami (Kehakiman) tidak boleh menentukan siapa yang dapat pencen, siapa yang tak dapat pencen. Itu bidang kuasa JPA,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Memperingati Bekas-Bekas Ketua Hakim Negara dan Hakim Besar Malaya di Istana Kehakiman di sini.
Syed Ahmad Idid merupakan individu yang mendedahkan mengenai Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Mohamed Eusoff Chin dan peguam kanan Datuk V.K. Lingam yang didakwa bercuti bersama-sama di New Zealand pada 1994.
Dakwaan yang melibatkan badan kehakiman muncul sekali lagi pada penghujung 2007 apabila sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat rakaman video berkaitan dakwaan campur tangan dalam pelantikan hakim.
Dapatan siasatan pada 2008 mengesyorkan tindakan terhadap enam individu termasuk Eusoff dan Lingam.
Dalam satu temubual oleh sebuah portal berita, Syed Ahmad Idid memberitahu selepas pendedahan tersebut dibuat, beliau telah dilawat oleh pihak berkuasa yang kemudiannya menyebabkan beliau memilih untuk meletakkan jawatan.
Ekoran perletakan jawatan tersebut, Syed Ahmad Idid yang telah berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Tinggi selama enam tahun telah kehilangan pencen beliau.
Sementara itu, menjawab pertanyaan sama ada badan kehakiman yang diterajuinya sejak 28 Julai 2025 bebas daripada rasuah, Wan Ahmad Farid memberitahu semuanya baik pada ketika ini.
“Saya tidak boleh katakan dengan pasti. Saya (juga) tidak boleh jamin apa-apa, kan? Tapi setakat ini semuanya baik. Saya belum mendengar apa-apa (aduan),” katanya.
Mereka yang diraikan pada majlis tersebut ialah Allahyarham Tun Mohd Eusoff Chin (Ketua Hakim Negara Kelapan), Allahyarham Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah (Ketua Hakim Negara Kesembilan), Allahyarham Tun Abdul Hamid Mohamad (Ketua Hakim Negara Ke-11) serta bekas Hakim Besar Malaya, Allahyarhamah Tan Sri Siti Norma Yaakob yang merupakan wanita pertama dilantik memegang jawatan tersebut. – UTUSAN

