Kira-kira 200 keluarga terjejas banjir susulan limpahan air kolam tadahan di Taman Seri Alam

Kira-kira 200 keluarga terjejas banjir susulan limpahan air kolam tadahan di Taman Seri Alam

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kira-kira 200 keluarga di Taman Seri Alam, Saujana Utama, Kuala Selangor, dekat sini, dilaporkan terjejas akibat banjir susulan limpahan air kolam tadahan, petang semalam.

Pengerusi Pembangunan Infrastruktur dan Komuniti Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Saujana Utama, Wan Ismail Hashim berkata, air daripada kolam tadahan melimpah sehingga memasuki rumah penduduk selepas hujan berpanjangan.

Katanya, kolam tadahan di kawasan itu tidak pecah seperti kejadian sebelum ini, sebaliknya melimpah apabila tidak dapat menampung air.

“Berdasarkan anggaran awal, kira-kira 200 keluarga di Taman Seri Alam terjejas akibat limpahan air kolam tadahan.

“Paras air berbeza mengikut kawasan. Ada yang separas lutut, tetapi di kebanyakan rumah yang terjejas di Seri Alam, air dianggarkan sedalam kira-kira 0.3 meter,” katanya dihubungi.

Wan Ismail berkata, kawasan Saujana Perdana turut mengalami limpahan air, namun setakat petang semalam, air hanya memasuki anjung rumah di kawasan SU4.

Katanya, hujan berterusan turut menyebabkan ban parit pecah berhampiran sempadan Eco Grandeur, manakala beberapa kolam tadahan di kawasan sekitar turut penuh.

“Kolam tadahan itu tidak sempat menampung air, manakala aliran keluar ke sungai menjadi perlahan kerana paras air sungai juga sudah tinggi.

“Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) menyediakan dua unit pam yang sudah diaktifkan, masing-masing di Taman Seri Alam dan Saujana Perdana.

“Pam itu menyalurkan air daripada longkang monsun atau kawasan perumahan ke kolam tadahan, namun kesannya tidak begitu ketara kerana paras air kolam sendiri sudah tinggi,” katanya.

Menurutnya, pembangunan di kawasan sekitar dan penyelenggaraan saliran turut menyumbang kepada masalah banjir, selain hujan serta air yang tidak sempat mengalir keluar.

Katanya, pihak berkaitan perlu memberikan perhatian kepada penyelenggaraan berkala longkang dan sistem saliran, termasuk saliran utama yang menyalurkan air keluar dari kawasan perumahan.

“Pembangunan pun menyumbang juga. Maksudnya, penyelenggaraan longkang ada sedikit menyumbang, tetapi bukan 100 peratus daripada pembangunan.

“Hujan lebat dengan air yang tidak sempat mengalir pun menjadi faktor. Jadi, saya minta pihak berkaitan memberikan perhatian tambahan kepada penyelenggaraan mengikut jadual,” katanya.

Wan Ismail berkata, pemantauan bersama MPKS, polis, pejabat daerah dan wakil penduduk diteruskan bagi memastikan keadaan banjir terkawal.

Katanya, keadaan banjir dilaporkan semakin beransur baik susulan tindakan agensi berkaitan dengan kerjasama penduduk setempat.

“Alhamdulillah, sekarang (semalam) hujan sudah berhenti. Cuma kita risau kalau hujan lagi, memang air akan naik.

“Setakat ini, saya rasa paras air sudah berkurangan sedikit, tetapi ada kawasan yang airnya masih bertakung dan tidak sempat mengalir keluar,” katanya.

Menurutnya, pihak pentadbiran daerah turut bersedia membuka pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Ixora Hillpark sekiranya keadaan banjir bertambah serius dan memerlukan pemindahan penduduk.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top