SUNWAY Group meraih tempat ke-26 senarai Fortune 100 Best Companies to Work For™ Southeast Asia 2026 sekali gus satu-satunya syarikat beribu pejabat di Malaysia yang tersenarai.
Pengasas dan Pengerusi Sunway Group, Tan Sri Datuk Seri Sir Dr Jeffrey Cheah berkata, walaupun prestasi perniagaan penting, kekuatan dan kelangsungan sesebuah organisasi akhirnya bergantung kepada manusia serta nilai yang dipegang.
Menurut beliau, walaupun prestasi perniagaan penting namun pada akhirnya manusia dan nilai yang menentukan kekuatan serta jangka hayat sesebuah organisasi.
“Kami berbesar hati diiktiraf antara tempat kerja terbaik di Asia Tenggara. Pengiktirafan ini mengesahkan komitmen kami untuk membina tempat kerja yang membolehkan warga kerja berkembang maju dan memberikan hasil kerja terbaik mereka.
“Perjalanan kami selama ini dibina berasaskan kepercayaan, dipandu oleh nilai teras integriti, rendah hati dan kecemerlangan.
“Nilai-nilai ini akan terus membimbing perjalanan kami ketika kami berkembang bersama komuniti yang kami berkhidmat, selain mewujudkan peluang untuk generasi akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.
Senarai berkenaan diterbitkan Fortune bersama Great Place To Work®, berdasarkan maklum balas sulit daripada lebih 1.32 juta pekerja di 10 negara Asia Tenggara.
Bagi melayakkan syarikat menyertai penilaian itu, organisasi perlu memperoleh Great Place To Work Certified™ serta mempunyai sekurang-kurangnya 200 pekerja di rantau ini.
Dalam penilaian tersebut, pekerja menilai tempat kerja masing-masing berdasarkan 60 kenyataan dan dua soalan terbuka yang meliputi aspek kepercayaan, kepimpinan, rasa hormat, keadilan dan kebanggaan.
Tinjauan itu turut perlu memenuhi ambang pengedaran serta kadar maklum balas tertentu bagi memastikan sampel yang dikumpulkan mewakili tenaga kerja organisasi.
Selain skor keseluruhan, penilaian turut mengukur sejauh mana pengalaman positif dikongsi secara konsisten merentasi peranan, peringkat jawatan dan kumpulan demografi berbeza.
Kedudukan berkenaan turut mengambil kira saiz tenaga kerja serantau serta jumlah negara yang mana syarikat memperoleh pensijilan dan menjalani tinjauan.
Sunway berkata, strategi sumber manusianya berteraskan nilai teras kumpulan serta falsafah “Doing Well by Doing Good” yang diperjuangkan Jeffrey.
Sementara itu, menerusi 13 bahagian perniagaannya, Sunway menawarkan program pembangunan kepimpinan serta peluang kepada pekerja membina pengalaman merentasi fungsi dan industri.
Berdasarkan profil yang diterbitkan Great Place To Work, sebanyak 93 peratus pekerja yang ditinjau menganggap Sunway sebagai tempat kerja yang baik. Sunway turut memperoleh Great Place To Work® Certification™ untuk tahun kedua berturut-turut pada 2026.
Pengiktirafan sebagai antara tempat kerja terbaik Asia Tenggara itu merupakan satu daripada tiga pengiktirafan Fortune yang diterima Sunway tahun ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Sunway turut melonjak 39 anak tangga ke tempat ke-151 dalam senarai Fortune Southeast Asia 500 companies.
Timbalan Pengerusi Eksekutif Sunway Group, Datin Paduka Sarena Cheah pula disenaraikan dalam Fortune’s Most Powerful Women Asia 2026 sekali gus menjadi antara lima rakyat Malaysia yang tersenarai dalam senarai 100 pemimpin perniagaan dari seluruh rantau Asia Pasifik.
Sunway Group turut dinamakan sebagai antara Malaysia’s Best Managed Companies 2025 oleh Deloitte, selain mengekalkan status Gold untuk tahun kelima berturut-turut.



