KUALA LUMPUR – Lebih 1.3 juta peranti set-top box (STB), kebanyakannya kotak Android TV, dikesan dijangkiti malware (perisian hasad) dan dijadikan sebahagian daripada botnet XCPE iaitu rangkaian peranti yang boleh dikawal penjenayah siber dari jauh tanpa pengetahuan pemiliknya.
Lapor media antarabangsa, syarikat gergasi teknologi, Google mengaitkan operasi itu dengan Videostrong Technology Co, pengeluar peranti Android berpangkalan di Shenzhen, China, yang dipercayai menyembunyikan akses rahsia dalam perisian perantinya sejak peringkat pengeluaran.
Selain kotak Android TV, mesin karaoke, peranti telekesihatan dan papan tanda digital turut terjejas.
Peranti berkenaan didakwa disalahgunakan untuk penipuan iklan, mencuri maklumat dan menggunakan sambungan internet pengguna tanpa kebenaran bagi menyalurkan trafik pihak ketiga.
Susulan penemuan itu, Google menamatkan kerjasama dengan Videostrong, melarang syarikat berkenaan menghasilkan peranti Android yang diperakui Google serta mengambil tindakan menutup pelayan yang mengawal botnet tersebut.
Google menjangkakan tindakan itu turut memutuskan akses kepada sekurang-kurangnya 10 juta lagi peranti yang telah diceroboh. – Awani



