Lebih 133,000 saman dikeluarkan terhadap pemandu warga asing atas pelbagai kesalahan

Lebih 133,000 saman dikeluarkan terhadap pemandu warga asing atas pelbagai kesalahan

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sebanyak 133,081 saman dikeluarkan terhadap pemandu warga asing dengan 21,232 kes bagi kesalahan tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) sepanjang Januari hingga Ogos tahun ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, bagi tempoh sama, 1,933 kes memandu tanpa Lesen Memandu Kenderaan Barangan (GDL) turut direkodkan.

Katanya, bagi kesalahan memandu tanpa Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV), 85 kes dicatatkan dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

“Antara kesalahan lain ialah Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, tiada permit masuk atau International Circulation Permit (ICP), serta kesalahan membawa muatan berlebihan.

“Bagi memastikan kesalahan sama tidak berulang, pendekatan penguatkuasaan berterusan dan operasi bersepadu dilaksanakan, termasuk pemeriksaan dokumen pemandu serta kenderaan,” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di portal Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Dr Siti Mastura Muhammad (PN- Kepala Batas) yang meminta menyatakan jumlah kes yang direkodkan dan tindakan susulan yang diambil bagi memastikan kesalahan sama tidak berulang.

Tambahnya, tindakan turut diambil terhadap kenderaan yang melanggar undang-undang menerusi kerjasama Jabatan Imigresen (JIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya bagi kes membabitkan status imigresen atau kesalahan lain.

“Kementerian menegaskan tanggungjawab pemilik kenderaan dan majikan untuk memastikan hanya individu yang memiliki lesen memandu sah dibenarkan memandu di jalan raya.

“Sehubungan itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan terus mempergiat operasi bersasar di lokasi dan sektor berisiko tinggi.

“Ia bagi meningkatkan pematuhan undang-undang dalam kalangan pemandu, pemilik kenderaan dan majikan, termasuk membabitkan warga asing,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top