Hyderabad: Tekanan dipercayai akibat dibuang kerja mendorong wanita di India, memandu dalam keadaan mabuk di atas landasan kereta api sejauh lapan kilometer.
Menurut pegawai kereta api, insiden pelik itu menyebabkan lebih 15 tren terpaksa dilencongkan, malah perkhidmatan pengangkutan itu di Telangana, tergendala 45 minit.
Wanita terbabit dikatakan jurutera perisian berasal dari Lucknow, yang kini menetap di Shankarpalli, dilaporkan mabuk teruk ketika kejadian.
Difahamkan, dia baru sahaja diberhentikan kerja dari syarikat IT di Hyderabad.
Rakaman video menunjukkan, wanita itu memandu Kia Sonet di atas landasan antara Shankarpalli dan Hyderabad.
Ketika petugas cuba menghentikannya, dia bertindak memecut laju sebelum kenderaan itu terbabas dan melanggar sebatang pokok sebaik keluar dari landasan sehingga menyebabkan cermin keretanya pecah.
Lebih mengejutkan, dia kemudian keluar sambil memegang besi sebelum menyerang pegawai bertugas serta melontar batu ke arah orang awam yang cuba membantu.
Dia akhirnya berjaya ditahan polis kereta api dan dihantar untuk pemeriksaan psikiatri.
Sementara itu, inspektor Shankarpalli, K Srinivas Goud mengesahkan, wanita itu kini ditahan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Tindakan wanita itu mencetuskan perdebatan hangat di media sosial.
Ada yang menuntut dia dikenakan tindakan tegas di bawah undang-undang antikeganasan, manakala yang lain menyeru wanita itu diberikan rawatan dan belas ihsan atas kemungkinan mengalami tekanan mental selepas kehilangan pekerjaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd