Duplantis akui perlu beraksi tahap terbaik hadapi Karalis

Zurich: Armand ‘Mondo’ Duplantis mungkin sekali lagi muncul juara di Zurich untuk meneruskan penguasaannya dalam acara lompat bergalah dunia, namun jaguh Sweden itu mengakui dia perlu terus memberikan aksi terbaik bagi mengekang cabaran pencabar Greece, Emmanouil Karalis.

Duplantis melengkapkan kemenangan sensasi pada saingan Liga Berlian kedua terakhir dengan lompatan 6.25 meter (m).

Karalis pula melepasi 6.20m, namun kedua-dua atlet gagal dalam percubaan untuk memecahkan rekod dunia baharu pada ketinggian 6.32m.

Duplantis mendominasi acara lompat bergalah sejak 2019 dengan memenangi dua emas Olimpik dan tiga gelaran dunia.

Dia turut empat kali muncul juara dunia dalam dewan dan baru-baru ini meraih gelaran Eropah keempat.

Selain koleksi pingat yang semakin bertambah, atlet berusia 26 tahun itu juga sudah memecahkan rekod dunia sebanyak 15 kali.

Ada kalanya rekod berkenaan dilakukan Duplantis secara bersendirian, selepas dia terlebih dahulu memastikan kemenangan.

Namun di Stadium Letzigrund yang dipenuhi penonton di Zurich, persaingan sebenar tercetus apabila Karalis memaksa atlet kelahiran Amerika Syarikat itu memberikan aksi maksimum.

“Manolo (Karalis) melakukan lompatan yang benar-benar luar biasa,” kata Duplantis.

“Ia menakjubkan apabila dia melepasi 6.20m, jadi saya perlu memberikan tindak balas.

“Cara terbaik adalah dengan melompat 6.25m dan memastikan kemenangan, ini adalah tahap persaingan tertinggi yang pernah ada.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top