Pendakwah bebas, Haris Ismail meluahkan rasa terkilan apabila terus menerima pelbagai tuduhan termasuk dakwaan menunggang agama dan tidak mempunyai tauliah mengajar, meskipun sudah bertahun-tahun mendalami ilmu agama.
Haris atau nama sebenarnya Muhammad Haris Mohd. Ismail, 31, berkata, dia terbuka menerima teguran terhadap penyampaian dakwahnya, namun berharap orang ramai tidak mempertikaikan latar belakang pendidikan serta kelayakannya tanpa mengetahui perkara sebenar.
“Saya sebenarnya sedih dengan perkara ini. Apabila kita memberikan tazkirah kepada orang ramai, saya rasa tidak salah jika ada pihak mahu mengkritik. Itu bukan masalah kerana mungkin mereka tidak bersetuju dengan apa yang saya sampaikan.
“Namun, apabila perkara itu melibatkan kelayakan pendidikan, saya berharap mereka dapat menghormati usaha serta perjalanan saya dalam menuntut ilmu.
“Saya minta maaf kerana membangkitkan perkara ini, tetapi saya berharap isu berkenaan tidak lagi diperbesarkan. Pada awalnya, saya tidak begitu terasa tapi apabila berterusan menerima pelbagai kata-kata sedemikian, lama-kelamaan perkara itu mula menyakitkan hati,” katanya.
Kredit Foto: MEDIA HIBURAN
Suami kepada selebriti Neelofa itu turut menjelaskan bahawa dia sudah memiliki tauliah mengajar agama sejak 2020, selain pernah melanjutkan pengajian di Mesir sebelum menyambung pengajian ijazah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Malah, Haris memaklumkan dia baru sahaja menamatkan pengajian Sarjana Pengajian Islam di Open University Malaysia (OUM) pada minggu lalu.
“Alhamdulillah, minggu lalu saya juga baru sahaja menamatkan pengajian Sarjana Pengajian Islam di Open University Malaysia (OUM). Jadi, saya berharap selepas ini tidak timbul lagi persoalan mengenai kelayakan pendidikan mahupun tauliah dimiliki,” ujarnya pada sidang media khas.
Terdahulu, Haris dan Neelofa menerima perhatian susulan pembatalan acara Nunha Meet & Greet di Johor pada 24 Oktober lalu atas faktor keselamatan dan kesihatan berikutan keadaan jerebu.

Pembatalan itu mencetuskan rasa tidak puas hati sebahagian peserta apabila timbul dakwaan bayaran balik tunai tidak ditawarkan, sebaliknya mereka diberikan pilihan kredit pembelian, tiket wayang atau pertukaran produk.
Bagaimanapun, Neelofa menjelaskan pihaknya tidak pernah memaksa peserta menerima pilihan tersebut, manakala proses bayaran balik penuh sedang dilaksanakan kepada mereka yang memilih kaedah berkenaan.
Haris turut menafikan dakwaan tiket wayang dijadikan pengganti wajib kepada bayaran balik, sebaliknya menegaskan sebarang pertukaran dibuat atas persetujuan pembeli.
Sumber: Kosmo! Online (Muhammad Haikal Ramli)




