am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang yang menandatangani Perjanjian Kepercayaan dan Perbekalan (CSA), semalam, akan disalurkan segera sebaik saja Belanjawan 2027 diluluskan Parlimen.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata belanjawan berkenaan ketika ini berada di peringkat perbahasan melalui Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat dan dijangka diluluskan hujung tahun ini.
“Belanjawan dalam (peringkat) perbahasan dan sebaik diluluskan akhir tahun ini, kita boleh salur ikut persefahaman.
“Sebaik saja lulus Parlimen, kita boleh salur segera,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Muqarrabin, Bandar Tasik Selatan di sini, hari ini.
Berita lanjut menyusul.
Semalam, enam Ahli Parlimen BERSATU memeterai CSA dengan Kerajaan MADANI dalam satu pertemuan di Bangunan Parlimen. Mereka ialah Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Radzi Jidin (Putrajaya), Datuk Ali Biju (Saratok), Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (Langkawi), Nazri Abu Hassan (Merbok) dan Datuk Azman Nasrudin (Padang Serai).
Antara perkara yang dipersetujui menerusi perjanjian itu adalah sokongan enam Ahli Parlimen berkenaan terhadap pentadbiran Anwar hingga akhir penggal, termasuk Belanjawan 2027.
Turut menandatangani CSA itu ialah Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan enam bekas Ahli Parlimen BERSATU yang dipecat daripada parti itu pada 2024 selepas memutuskan untuk menyokong kerajaan.
Perdana Menteri, berkata kerajaan terbuka kepada sesiapa saja yang mahu menandatangani CSA berkenaan, sama seperti Perjanjian Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang pernah ditandatangani dengan blok pembangkang pada 2021, ketika beliau menjadi Ketua Pembangkang.
“Prinsipnya sama seperti mana saya lakukan selaku Ketua Pembangkang dengan kerajaan. Masa itu kerajaannya UMNO (Barisan Nasional) (BN), PAS dan BERSATU dan kita bincang, cadang untuk peruntukan, jadi tidak ada sesuatu yang janggal.
“Selama ini saya kata, ada persefahaman dan kita luluskan. Walaupun masih diserang seolah-olah kita menyekat… tidak. Peruntukan Parlimen berjalan seperti biasa, kerajaan atau pembangkang.
“Jadi, ini satu perkembangan yang baik, di mana mereka menyatakan persetujuan semalam dan ini terbuka kepada sesiapa saja yang mahu bersetuju mengikut kaedah yang mereka guna pakai dulu. Ini bukan peraturan kita sekarang,” katanya.
Mengenai pandangan sesetengah pihak yang melihat CSA berkenaan sebagai satu peringatan kepada komponen Kerajaan Perpaduan untuk tidak menarik sokongan daripada kerajaan, Perdana Menteri menyifatkan ia sebagai satu tafsiran politik.
“Ini bukan sesuatu yang janggal. Persefahaman ini berlaku dalam banyak negara demokrasi tetapi dalam pengalaman di Malaysia, memang ada perundingan dahulu dalam kerajaan terdahulu.
“Semua tahu dalam anggota jawatankuasa itu, yang berbincang bagi pihak Pakatan Harapan (PH) dan bagi pihak kerajaan pada masa itu, terdiri daripada wakil BERSATU, PAS, UMNO dan Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




