Anggota kumpulan Elite, Azza atau nama sebenarnya Nor Azzarima Zawari, mengakui dia berasa segan untuk berbual dengan penyanyi dan komposer terkenal, Datuk Yusry Abdul Halim.
Menerusi perkongsian di akaun Threads miliknya, Azza mendedahkan dia berasa kekok untuk berbual dengan Yusry yang disifatkan sebagai seorang yang sangat pendiam.
“Kalau nak borak dengan Abang Yusry atau Datuk Yusry memang segan sebab beliau pendiam. Nak tanya ‘abang nak gambar boleh?’ pun memang tak terkeluar… segan.
“Kalau tak ada apa nak cakap memang tidaklah bercakap,” tulisnya.
Dalam masa sama, Azza turut menegaskan dia sangat menjaga batas ketika berinteraksi dengan Yusry atas rasa hormat terhadap isteri penyanyi itu, pelakon jelita Datin Lisa Surihani.
“Lagi pun menghormati isterinya, Datin Lisa. Kita pun tak gemar orang cakap dengan suami kita. Oleh itu, jangan suka-suki cakap dengan suami orang… walaupun beliau bos kita,” katanya.
Bagaimanapun, Azza tetap menzahirkan penghargaan kepada Yusry yang banyak membimbingnya ketika sesi nyanyian, termasuk berduet dalam satu bahagian lagu.
“Apa pun, Datuk Yusry, terima kasih ajar saya menyanyi untuk part saya. Dah la duet sekali,” tulisnya lagi.