redzuan.muharam@hmetro.com.my
Pekan: “Ada yang kata kenapa nak bangga dengan penyakit suami tapi bagi saya, dia (suami) unik dan ada keistimewaannya. Saya tak pernah fikir soal rupa kerana terima saja kelebihan dan kekurangannya.”
Itu kata Anis Qistina Rozimy, 21, mengenai kisahnya berkahwin dengan Luqmanul Hakim Ahmad Rafi, 26, atau dikenali Alang yang dilahirkan dengan penyakit Hidradenitis Suppurativa atau albino.
Kisah mereka mendapat perhatian apabila Anis Qistina memuat naik gambar duduk di atas pelamin dengan Luqmanul Hakim pada 2017 iaitu sebelum berkahwin hingga akhirnya mereka sendiri disatukan sebagai suami isteri pada 4 April lalu.
Bercerita lanjut, Anis Qistina berkata, dia berkenalan dengan Luqmanul Hakim ketika masih bersekolah selepas keluar dengan sepupu yang juga rakan suaminya.
“Sejak itu, kami mula berhubung dan selalu bersembang di WeChat yang popular dulu.
“Memang selesa berkawan dengannya dan apa yang membuatkan saya terpikat adalah kerana suami jenis santai, tak terlalu mencuba serta berani jumpa keluarga saya sejak awal perkenalan kami,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Biarpun sudah berkawan lama, Anis Qistina tidak pernah menyangka akan menjadi isteri kepada Luqmanul Hakim.
“Tipu kalau tak pernah dihampiri lelaki lain tapi macam mana pun, saya tetap dengan suami kerana selesa dengannya.
“Jadi tak ada alasan untuk tak setia dengannya tapi terkejut juga bila suami ajak kahwin tahun lalu kerana nampak niat dan usahanya cuma tak nampak bila.
“Apa pun, saya bersyukur kerana keluarga kedua-dua belah pihak merestui hubungan kami malah emak dan ayah saya pun sayangkannya,” katanya yang juga anak sulung daripada empat beradik.
Menurut Anis Qistina, tiada apa yang diharapkan melainkan mendapat kebahagiaan dalam perkahwinan dengan suaminya.
“Saya pun harap suami terus sihat dan apa dikongsikan di TikTok sekadar nak cipta kenangan.
“Tak sangka ramai menonton video itu dan terima kasih kepada yang mendoakan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




