norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon Azlan Komeng, 49, kesal dengan tindakan dilakukan seorang individu terhadapnya menerusi penyebaran mesej lama perbualan mereka yang berbaur lucah hingga tular di media sosial.
Azlan mendakwa, dia dan individu terbabit memang pernah menjalinkan hubungan cinta sebelum bertemu dengan isterinya, Nur Nilam Ortiz serta membuat keputusan menikahi wanita itu.
“Saya memang sangat kesal kerana dalam isu ini bukankah soal peribadi. Sepanjang bersama dulu pun (dengan individu terbabit) tiada paksaan apa-apa. Nak berpisah pun saya sudah minta maaf dan jelaskan.
“Jadi bila dia (individu terbabit) tidak terima, takkan saya yang bersalah. Paling saya kesal sampai isteri saya terganggu dan trauma atas kehilangan anak kami dalam kandungan dan kata-kata netizen yang kecam itu, sangat tidak adil pada saya.
“Namun kerana tekad saya untuk berubah maka saya terima semua ini sebagai apa yang Allah gariskan untuk saya. Alhamdulillah,” katanya kepada Harian Metro menerusi kiriman mesej di WhatsApp.
Menurut Azlan, insiden (mesej berbaur lucah) antaranya dengan individu terbabit sudah berlaku lebih enam atau tujuh tahun yang lampau iaitu sebelum dia mengenali isterinya lagi.
“Dia (individu terbabit) itu berharap saya pilih dia, tapi saya pilih isteri (Nur Nilam) yang pada masa itu kami baru saja kenal. Padahal dia (individu terbabit) sudah bertahun-tahun saya kenal.
“Saya pun sebenarnya sudah tinggalkan semua (perkara kurang baik) sebelum kenal isteri saya lagi. Kalau ikutkan tiada isu untuk dia cemburu atau marah. Dia yang memilih untuk tetap ada, tapi bila saya dah bernikah memang saya tidak mahu teruskan (hubungan).
“Itu yang mungkin buat dia marah. Dia pun tak ada nak hubungi saya untuk bercakap atau apa pun, tapi buat hal macam-macam di belakang. Tapi saya dah pilih untuk tidak lagi membuat perkara-perkara yang salah, maka saya redha terima apa pun dendam dari yang sebelum ini,” ujarnya.
Jelas Azlan, perkara membabitkan mesej lucah berkenaan memang masih baharu dimuatnaik oleh individu terbabit selepas bermacam cara dilakukan untuk melempiaskan dendam.
“Dia memang menjadikan isteri saya sasaran. Bermacam-macam akaun palsu yang dia buat. Tapi, dia sendiri sekali pun tak pernah nak tampil secara terbuka. Jadi, jelaslah dia bukan nak menyatakan mana salah dan betul.
“Ia lebih kepada nak aniaya saya dan isteri. Dia tahu saya selebriti, maka Inilah cara dia hendak merosakkan nama dan kerjaya saya” katanya lagi.
Terdahulu, Azlan bakal mengambil tindakan tegas terhadap individu terbabit yang menyebarkan tangkap layar perbualan berbaur lucah serta video mengaitkan dirinya.
Setakat ini, Azlan juga difahamkan sudah membuat laporan polis terhadap individu berkenaan untuk tindakan seterusnya mengikut proses undang-undang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




