harisfadli@hmetro.com.my
Lumpur: Kira-kira 4,500 tong gas dirampas disyaki digunakan oleh kartel penyelewengan gas LPG bersubsidi yang bergiat aktif menggunakan beberapa syarikat berbeza sekitar ibu negara, di sini.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur, Mohd Sabri Seman berkata, sebuah gudang di Jalan Ipoh di sini, diserbu lewat malam tadi susulan risikan selama satu bulan.
Menurutnya, premis sama pernah diserbu Ogos tahun lalu dan tindakan sudah diambil ke atas pemilik premis, namun hasil pemantauan berterusan pihaknya mendapati kegiatan itu masih berlaku.
“Aktiviti penyelewengan gas bersubsidi dikesan dilakukan secara halus melalui proses dikenali sebagai ‘decanting’, iaitu pemindahan gas subsidi daripada tong bersaiz 14 kilogram (kg) ke tong industri bersaiz 50 kg.
“Gas bersubsidi yang dibeli pada harga RM22 setong akan dipindahkan dan dijual semula dalam tong industri pada harga antara RM180 hingga RM240.
“Dalam serbuan ini, 4,500 tong pelbagai saiz dirampas, dengan nilai anggaran pasaran mencecah RM400,000 berdasarkan harga runcit,” katanya ketika ditemui di lokasi, di sini, hari ini.
Menurutnya, air batu adalah bahan utama proses ‘decanting’ dan pergerakan masuk lori ais ke dalam kawasan itu secara kerap menimbulkan syak bahawa kegiatan pemindahan itu masih dilakukan di sini.
Mengulas lanjut beliau berkata, gas bersubsidi yang sudah dipindahkan ke dalam tong 50 kg saiz industri akan dijual kepada pengguna domestik seperti kilang, hotel dan restoran.
Mohd Sabri berkata, pemilik premis terbabit mempunyai lesen pemborong gas LPG yang sah dan menjalankan urus niaga ‘halal’ pada waktu siang dan menyeleweng gas bersubsidi pada waktu malam bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Hasil risikan mendapati sindiket ini menggunakan antara empat hingga lima syarikat berbeza yang beroperasi di sekitar Kuala Lumpur.
“Setiap kali satu syarikat diserbu atau disiasat, mereka akan menukar nama syarikat dan lokasi, namun modus operandi masih sama (iaitu melakukan ‘decanting’ pada waktu malam).
“Premis yang diserbu ini sebenarnya pernah diserbu sebelum ini pada Ogos tahun lalu, namun sindiket yang sama kembali beroperasi menggunakan syarikat lain, kami percaya ini adalah kartel yang sama dan sedang beroperasi secara berstruktur,”katanya.
Menurutnya, serbuan bermula 11.20 malam itu turut menahan dua pekerja lelaki warga Bangladesh yang mendakwa bekerja sebagai pembantu di gudang berkenaan.
Kedua-dua warga asing terbabit bagaimanapun mendakwa tidak pernah bertemu dengan majikan yang dikaitkan seorang warga tempatan dan mendakwa baru mula bekerja di premis itu.
“Hasil semakan mendapati kedua-dua warga asing memiliki permit kerja tetapi di sektor pembinaan, bukan permit sah untuk mengendalikan gas.
“Pemilik premis sudah dikenal pasti dan dipercayai warga tempatan. Warga asing yang ditahan akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 21 dan Seksyen 61 Akta Kawalan Bekalan 1961.
© New Straits Times Press (M) Bhd



