Lima kereta mewah bernilai RM1.6 juta hangus akibat khianat

Lima kereta mewah bernilai RM1.6 juta hangus akibat khianat

KUALA LANGAT: Polis sedang mengesan empat individu didakwa melakukan perbuatan khianat dengan membakar lima kenderaan mewah milik seorang lelaki dekat Gemala Residences, Bandar Saujana Putra di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 6.45 pagi dan siasatan polis mendapati kejadian berlaku ketika mangsa bersama keluarganya tiada di rumah.

“Siasatan mendapati empat suspek lelaki membakar kereta milik mangsa. Polis sedang giat menjalankan usaha mengesan kesemua suspek terlibat.

“Mangsa mengalami kerugian kira-kira RM1.6 juta iaitu kerosakan pada bahgian hadapan rumah termasuk lima buah kenderaan mewah,” katanya kepada pemberita, malam tadi.

Tambahnya, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan (Khianat Menggunakan Api) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Polis juga menasihatkan orang ramau supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan. Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di talian 03-31872222,” ujarnya.

Terdahulu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar memaklumkan pihaknya menerima panggilan berkaitan kebakaran tersebut pada pukul 6.44 pagi.

Menurutnya, kebakaran melibatkan lima buah kereta pelbagai jenis yang terbakar di hadapan sebuah rumah teres dua tingkat kelas A berkeluasan 2,625 kaki persegi di kawasan perumahan berkenaan.

“Kebakaran turut melibatkan hadapan dua buah rumah teres dua tingkat. Anggaran peratusan kebakaran kereta 90 peratus manakala anggaran kebakaran rumah pertama 10 peratus dan rumah kedua lima peratus,” jelasnya.

Sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Panglima Garang, dikerahkan ke tempat kejadian dan operasi selesai pada pukul 7.10 pagi. – UTUSAN

Scroll to Top