Fasha Sandha mahu lebih aktif menyumbang untuk Perlis

Fasha Sandha mahu lebih aktif menyumbang untuk Perlis

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Petaling Jaya : Pelakon, Fasha Sandha menyatakan kesediaan untuk lebih aktif menyumbang kepada negeri Perlis selepas menerima Pingat Jasa Baik (PJB) sempena Ulang Tahun Keputeraan ke-82 Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, baru-baru ini.

Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan, 41, berkata, penganugerahan daripada Istana Arau itu adalah antara pengiktirafan tertinggi yang pernah diterimanya dan menjadi pemangkin semangat untuk terus berbakti, khususnya kepada negeri yang membesarkannya.

“Saya tak mahu cakap lebih-lebih, tetapi mungkin selepas ini saya akan lebih aktif di Perlis.

“Sebelum ini pun saya banyak menulis dan berkongsi mengenai Perlis Indera Kayangan di media sosial kerana negeri ini sangat dekat dengan hati saya.

“Mungkin anugerah ini juga adalah kerana saya dibesarkan di Perlis walaupun dilahirkan di Johor.

“Jadi, bila menerima penghargaan ini, ia sangat bermakna buat saya. Alhamdulillah, ini satu kenangan yang sangat manis,” katanya.

Menurut Fasha, anugerah itu bukan saja satu pengiktirafan kepada perjalanan seninya, tetapi juga satu isyarat untuk kembali memberi sesuatu kepada negeri yang banyak membentuk dirinya.

“Alhamdulillah, saya anggap ini sebagai rezeki perkahwinan dan anak-anak. Saya masih banyak kelemahan berbanding kelebihan, tetapi bila menerima pengiktirafan seperti ini, saya sangat bersyukur,” katanya.

Fasha turut merendah diri dengan menyatakan bahawa anugerah berkenaan bukan untuk mendongak langit, tetapi lebih kepada satu tanggungjawab untuk memperbaiki diri dan menyumbang kepada masyarakat.

“Pengiktirafan seperti ini jarang diberikan oleh pihak istana. Jadi saya sangat menghargainya dan ia memberi semangat untuk menjadi insan yang lebih baik. Saya pun banyak lagi perkara yang perlu diperbaiki dalam hidup,” katanya.

Mengulas mengenai pandangan sesetengah pihak yang melihat penganugerahan itu sebagai langkah awal ke arah pengurniaan gelaran Datuk, Fasha menegaskan perkara itu tidak pernah terlintas dalam fikirannya.

“Gelaran Datuk? Terlalu berat dan saya tak pernah terfikir langsung. Tiada komen mengenai itu,” katanya.

Fasha turut menyatakan, dia tidak pernah berasa terbeban dengan penganugerahan itu, malah melihatnya sebagai satu bentuk penghargaan yang menyuntik inspirasi untuk terus berkarya dan memberi impak positif kepada masyarakat.

“Anugerah ini tidak buat saya rasa terbeban. Sebaliknya, saya rasa dihargai dan sangat bersyukur.

“Insya-Allah, saya akan buat yang terbaik untuk menjadi individu yang boleh memberi manfaat kepada orang lain,” katanya.

Walaupun ramai menganggap Fasha kini semakin hampir dengan status sebagai ikon negeri Perlis, pelakon drama Malang Si Puteri itu tetap merendah diri.

“Terlalu jauh untuk saya dianggap ikon negeri Perlis. Ramai lagi orang yang lebih layak. Saya hanya insan biasa yang masih belajar dan terus mencuba untuk jadi lebih baik,” katanya.

Fasha ditemui di tayangan khas filem Citra Apartment yang dibintangi adiknya, Elisya Sandha yang berlangsung semalam.

Filem arahan Amor Rizan itu akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula esok.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top