Arked Mara Klang serlah seni budaya negara

Arked Mara Klang serlah seni budaya negara

Klang: Program Sentuhan Kreatif di Arked Mara memartabat pelancongan warisan dan seni kreatif di Bandaraya Diraja Klang, di sini.

Ia dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Warisan Arked Jalan Melayu, Mara Daerah Klang, Tourism Malaysia dan Tourism Selangor.

Acara turut menyaksikan pemasyhuran Arked Mara Klang sebagai Pusat Pemula Rujukan Warisan Sejarah Melayu Bandaraya Diraja Klang, sebagai simbolik kepada usaha memartabatkan seni dan warisan di peringkat nasional.

Datuk Bandar Klang Datuk Abd Hamid Hussain berkata festival berkenaan bukan sekadar acara seni, sebaliknya menjadi platform menghubungkan komuniti dengan seni dan budaya selain mengukuhkan ekonomi tempatan.

Menurut beliau, Arked Mara Klang adalah antara mercu tanda warisan ekonomi dan sosial masyarakat setempat.

“Bukan sahaja menjual tetapi peniaga juga dapat mendidik, memelihara dan mempromosikan budaya Melayu menerusi produk kontemporari seperti baju-T, topi, beg, rantai kunci dan hasil tangan bermotifkan seni klasik.

“Ianya salah satu bentuk pemerkasaan budaya melalui keusahawanan yang sangat digalakkan,” katanya.

Tambahnya, suntikan elemen kreatif menyegarkan semula ruang berkenaan sekali gus menjadikannya lebih menarik kepada pembeli, pelancong, pencinta seni dan golongan muda.

“Inisiatif ini juga merapatkan jurang generasi melalui demonstrasi pembuatan tanjak, songkok, busana tradisional dan ukiran seni yang menonjolkan warisan Melayu.

“Saya amat berbangga kerana Sentuhan Kreatif bukan sahaja menghidupkan ruang awam dengan warna-warni ekspresi seni, malah menjadi pemula kepada pusat pengumpulan sejarah dan warisan Melayu di tengah-tengah Arked Jalan Melayu Klang. Inilah nadi warisan kita,” katanya.

Pelbagai elemen seni ditampilkan menerusi program itu termasuk mural, seni autisme, kraftangan dan fotografi warisan sebagai medium pendidikan dan pendedahan kepada masyarakat.

“Saya amat menggalakkan lebih banyak usaha sebegini dilakukan, bukan sahaja merancakkan ekonomi setempat malah menjadikan Klang sebagai destinasi pelancongan warisan kreatif unik dan beridentiti.

“Ini adalah model pembangunan budaya berasaskan komuniti yang ini ditonjolkan,” kata Abd Hamid.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top