Desa sarat nostalgia

Desa sarat nostalgia

am@hmetro.com.my

SIAPA sangka Kampung Bagan Dalam, Seberang Perai, Pulau Pinang yang wujud sejak 250 tahun lalu terselit 1,001 cerita kegemilangan termasuk melahirkan beberapa tokoh ternama daripada pelbagai bidang profesional.

Mana tidaknya pada era 1950-an hingga 1970-an, ia menjadi pusat pertembungan ekonomi yang mana terdapat pelabuhan sebagai hub pengangkutan dan laluan kapal bagi mereka yang menunaikan haji pada ketika itu.

Penduduk, Abu Bakar Nor, 81, berkata, dia yang tinggal di kawasan itu sejak lahir menyaksikan betapa meriahnya kawasan Bagan Dalam khususnya Ujong Batu yang menjadi tumpuan penduduk di Seberang Perai.

“Dahulu di Bagan Dalam ada empat kampung yang majoriti penduduk sekitar 2,000 orang apabila lama kelamaan semakin ramai keluar berhjirah dan meninggalkan kawasan kampung kerana tanah di sini adalah milik ceti.

“Masih ada yang tinggal di sini yang saya tidak pasti berapa lama boleh bertahan.

“Namun, walaupun satu hari nanti kampung-kampung di sini bakal lenyap, tetapi harus ingat bahawa banyak sangat sejarah dan kenangan yang tidak boleh dilupakan,” katanya kepada wartawan ketika ditemui pada Majlis Reunion Anak Kampung Bagan Dalam di Restoran Nelayan Terapung Ujong Batu, baru-baru ini.

Katanya, sebelum wujudnya Butterworth yang menjadi bandar, kawasan Bagan Dalam dahulu adalah ‘pekan’ tempat orang berkumpul melakukan pelbagai aktiviti.

“Di sini, dahulunya laluan perhubungan antara selatan dan utara seberang, sebelum adanya Jambatan Tunku Abdul Rahman merentasi Sungai Perai. Dalam erti kata lain, jika hendak menyeberangi sungai dengan kenderaan perlu menaiki feri rantai maka semua akan bertumpu di kawasan ini.

“Sama juga untuk menaiki kereta api ke selatan tanah air perlu menyeberangi sungai asbab stesen terletak di Perai maka kawasan di sini sangat rancak dan membangun.

“Bagi mereka yang ingin mengerjakan haji juga menaiki kapal di sini termasuk orang-orang nak ke laut naik sampan semuanya di sini yang mana dulu ini pelabuhan kedua selepas Tanjung Penaga (Pelabuhan Pulau Pinang),” katanya.

Abu Bakar berkata, pelbagai tokoh ternama turut berasal dari Bagan Dalam antaranya bekas Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, ahli-ahli politik, legenda sepak takraw Kamarudin Salleh, pakar forensik Datuk Dr Zahari Noor dan ramai lagi.

“Ini yang menjadi satu kebanggaan apabila kampung ini banyak melahirkan insan-insan yang cemerlang dan berbakti kepada masyarakat serta negara yang perlu dikenang generasi akan datang.

“Sekiranya kampung ini tiada suatu hari nanti tetapi kegemilangan yang dicipta akan dikenang selama-lamanya,” katanya yang turut mengumpul bahan-bahan sejarah berhubung asal usul Bagan Dalam.

Menurutnya, dia berbuat demikian kerana mahu sentiasa mengingati akan asal usul dirinya kerana melalui salasilah itu baharu membuatkannya mengenali jati diri.

“Sayang kerana sejarah bukan semua boleh ingat, jadi harap dengan usaha saya kumpul dan bukukan bahan-bahan ini dapat membolehkan mereka yang pernah tinggal di kampung ini dulu dan sudah berhijrah ingat akan asal usul mereka.

“Perdana Menteri Pertama Tunku Abdul Rahman juga bertandang ke sini yang mana dulu ada ‘ Setia Peranakan Perai Football Club,” katanya.

Sementara itu, bekas penduduk, Kamalzaman Mohd Nor, 77, berkata, meskipun sudah keluar dari Kampung Bagan Dalam sejak tahun 1974 dan menetap di Shah Alam, Selangor tetapi dia setiap tahun masih membawa keluarganya ‘datang’ ke situ.

“Apabila datang sini, perkara wajib memang singgah restoran nelayan ini dan restoran nasi kandar. Di sini tempat membesar saya, walaupun tak tinggal sini tetapi saya risau apabila kawasan ini sudah tiada nanti.

“Di harap kawasan Ujong Batu yang dahulunya hub pelabuhan dapat diangkat sebagai tapak warisan supaya generasi akan datang mengetahui bahawa ia menyimpan banyak kisah sejarah termasuk lokasi pertembungan ekonomi yang pesat di Pulau Pinang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top