am@hmetro.com.my
Bentong: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang mematahkan cubaan menyeludup barangan e-waste dan skrap logam dari luar negara bernilai RM4.4 juta menerusi dua serbuan berasingan di Pelabuhan Klang Selangor.
Pengarah Kastam Pahang, Mohd Asri Seman berkata, rampasan itu membabitkan tujuh kontena berisi barangan seludup itu seberat 152,486 kilogram.
Menurutnya, rampasan itu hasil risikan dan pemeriksaan dokumen meragukan dikemukakan pengimport.
“Semua barangan dirampas dipercayai diimport dari Amerika Selatan dan Jepun berdasarkan dokumen awal yang diperoleh.” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Mohd Asri berkata, rampasan pertama membabitkan 46,726 kilogram barangan e-waste dilakukan kira-kira jam 1.15 petang 21 Mei lalu selepas kastam menahan dan memeriksa tiga kontena di Pelabuhan Utara.
Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati barangan itu diimport tanpa permit yang sah dan diikrarkan secara tidak tepat.
“Anggaran nilai rampasan itu RM700,890 dan tiada cukai atau duti import.” katanya.
Menurut Mohd Asri, barangan e-waste adalah bahan larangan import bersyarat dan hanya dibenarkan atas kelulusan Ketua Pengarah Alam Sekitar.
Bagaimanapun beliau berkata, penyeludup mengikrarkan barangan itu sebagai “copper concentrate” untuk mengelak keperluan permit import.
Katanya, rampasan kedua pula membabitkan 105,760 kilogram komoditi serpihan aluminium hasil pemeriksaan terhadap empat kontena di lokasi dan masa sama.
“Hasil pemeriksaan mendapati barangan sebenar adalah serpihan aluminium, namun diikrarkan sebagai barangan lain dan nilai rampasan itu dianggarkan RM3,701,600,” katanya.
Beliau berkata, pengimportan skrap logam juga tertakluk kepada Butiran 5, Jadual Keempat, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana mengimport barangan larangan bertentangan dengan peraturan.
Sabit kesalahan, boleh dipenjara hingga lima tahun atau denda hingga RM500,000 atau kedua-dua sekali.
© New Straits Times Press (M) Bhd




