MASIH ramai tidak faham atau keliru tentang pengurusan harta peninggalan seseorang yang telah meninggal dunia hinggakan dalam soal pengebumian pun ada yang berkira-kira untuk menggunakan duit si mati.
Kekeliruan itu sering mengundang pertikaian dalam kalangan ahli keluarga lebih-lebih lagi apabila membabitkan perbelanjaan pengurusan jenazah.
Pendakwah terkemuka, Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, terdapat empat perkara wajib dilaksanakan ke atas jenazah iaitu memandikan, mengapankan, menyembahyangkan dan mengebumikan.

USTAZ AZHAR
Semua perkara itu termasuk dalam hukum fardu kifayah yang wajib ditunaikan oleh masyarakat Islam tanpa pengecualian.
Dari segi perbelanjaan untuk empat perkara itu, jelas beliau, ia boleh terus diambil daripada harta si mati tanpa perlu keizinan waris kerana ia berkait dengan tanggungjawab syarak yang mesti disempurnakan.
“Untuk empat perkara ini, tidak perlu izin waris nak ambil harta si mati. Contohnya membeli kain kafan kerana ia termasuk dalam empat perkara tadi.
“Jika waris kata ‘aku tak reda’, usah pedulikan kerana waris tidak boleh sekat dalam perkara wajib,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikan di akaun YouTube miliknya pada Rabu.
Bagaimanapun, jika ia membabitkan perbelanjaan di luar empat perkara itu, Ustaz Azhar menjelaskan, harta si mati tidak boleh digunakan tanpa persetujuan semua waris yang berhak.
Ini kerana katanya, keperluan itu tidak tergolong dalam kategori wajib, sebaliknya hanya sunat atau bersifat adat semata-mata.
Beliau memberikan contoh pembelian batu nisan pada kubur yang memerlukan persetujuan semua waris sebelum mengambil duit peninggalan si mati.

JIKA melibatkan pembelian seperti batu nisan, perlu mendapatkan keizinan semua waris untuk menggunakan harta peninggalan si mati. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
Begitu juga pemberian hadiah kepada individu yang membacakan talkin untuk si mati yang memerlukan persetujuan semua waris untuk menggunakan harta milik orang yang meninggal dunia tadi.
“(Kalau contoh) gali kubur, itu wajib. Kita anak-beranak tak reti nak gali, tangan jenis ‘main’ TikTok. Jadi bila ada tukang gali, nak suruh mereka gali, upah RM150 (misalnya), wajib ambil duit si mati,” terangnya.
Mengulas tentang maksud waris yang berhak memberikan keizinan itu, agamawan itu menjelaskan, golongan dimaksudkan ialah mereka yang berhak menerima pusaka si mati seperti pasangan, ibu bapa dan anak-anaknya.
“Adik-beradik lain? Mereka bukan waris, dia tidak ‘makan’ pusaka,” katanya.
Sebelum mengakhiri perkongsian ilmunya, Ustaz Azhar menyeru agar umat Islam mendalami ilmu berkaitan pengurusan jenazah supaya tidak mudah terkeliru dengan perkara wajib, sunat, harus mahupun bidaah ketika berdepan dengan urusan kematian.

TERDAPAT empat perkara wajib dilaksanakan ke atas jenazah iaitu memandikan, mengapankan, menyembahyangkan dan mengebumikan yang mana semuanya boleh menggunakan harta peninggalan si mati tanpa perlu izin daripada waris. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
“Bukan semuanya wajib atau sunat. Kadangkala kita fikir ia sunat, padahal itu bidaah.
“Begitu juga sebaliknya, jadi kita kena faham dan ada ilmu,” katanya.