sukan@hmetro.com.my
Melaka: Pasukan hoki Thunderbolts Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Melaka bakal bersaing di pentas saingan Liga Divisyen 1 dan 2 Liga Remaja Kebangsaan Malaysia (TNB MJHL) yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Ketua jurulatih skuad berkenaan Mohd Fahmi Zulkifli Auni berkata, persiapan rapi rancak diatur bagi mengharungi saingan getir terbabit dalam usaha mencapai kejayaan gemilang di pentas liga berkenaan.
Katanya, bagi Divisyen 1 pasukan berkenaan mensasarkan sekurang-kurangnya berada di tangga kelima dan Divisyen 2 sebagai pendedahan besar kepada pemain pelapis berdasarkan keupayaan dan persiapan yang disusun biarpun bakal berhadapan lawan yang hebat di liga berkenaan.
Menurutnya, sokongan semua pihak termasuk pengurusan sekolah, ibu bapa dan Tenaga Nasional Malaysia (TNB) yang menyenaraikan sekolah berkenaan sebagai pasukan angkat jelas menyemarakkan kesungguhan pemain mencipta kejayaan.
“Antara kejayaan 2024 termasuk menjadi juara Divisyen 2 MJHL, tempat keempat di Kejohanan Hoki Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM), johan Kejohanan Hoki Sekolah-Sekolah Negeri Melaka (MSSNM), naib johan Karnival NHDP Bawah 17 dan johan Liga Hoki Bawah 15 Tahun anjuran Persatuan Hoki Melaka.
“Pada 2023 pasukan meraih naib juara Kejohanan Hoki 5 Sebelah Bawah 15 Tahun Kebangsaan, johan Kejohanan Hoki Jemputan Bawah 14 Tahun anjuran Persatuan Hoki Johor, Johan MSSM dan tempat ketiga Kejohanan Hoki Dalam Dewan Bawah 14 Tahun Jemputan Sekolah Bersama Penuh (SBP) Malaysia,”kata.
Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran pasukan hoki Thundberolts sekolah itu oleh EXCO Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Melaka, merangkap Presiden Persatuan Hoki Melaka Datuk Rais Yasin di sekolah berkenaan hari ini.
Pada majlis terbabit TNB menyalurkan sumbangan RM100 ribu kepada sekolah berkenaan bagi program pembangunan sukan hoki yang turut dihadiri pengetuanya, Johan Othman.
Sementara itu Rais berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada TNB selepas memilih sekolah itu sebagai antara tujuh program TNB Thunderbolts bagi pembangunan dari peringkat sekolah sebagai pembentukan pelapis masa hadapan.
© New Straits Times Press (M) Bhd