Lebih 900 halangan fizikal sekat bantuan kemanusiaan di Tebing Barat

Washington: Operasi kemanusiaan di wilayah jajah di Tebing Barat berdepan kelewatan serta sekatan ekoran kewujudan lebih 900 halangan fizikal, merangkumi pos pemeriksaan, pintu pintu pagar utama dan penutup jalan, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat, lapor Anadolu Ajansi.

Jurucakap bersekutu PBB, Daniela Gross De Almeida memaklumkan pemberita bahawa tindakan sekatan berkenaan membataskan laluan kemanusiaan lalu membiarkan golongan terjejas terputus daripada bantuan secukupnya.

“Rakan kerjasama kemanusiaan kami memberi amaran bahawa kerja bantuan kini perlahan serta terbatas disebabkan rangkaian melebihi 900 halangan fizikal termasuk pos pemeriksaan, pintu pagar, penutup jalan dan kawalan lain.

Keadaan ini menghalang laluan kemanusiaan dan menyebabkan mereka yang memerlukan bantuan tidak mendapat sokongan sewajarnya,” kata De Almeida.

Di kampung Qusra, berdekatan Nablus, pekerja bantuan dan pihak perbandaran gagal menghampiri tiga keluarga Palestin yang terperangkap di dalam kediaman mereka sejak Selasa.

Menurutnya, semua keluarga berkenaan terasing ekoran pembinaan penempatan haram berhampiran rumah mereka serta pembatasan laluan keluar masuk yang semakin diperketat di kawasan itu.

“Rakan sejawat kami memberi amaran bahawa langkah melindungi warga Palestin tidak membuahkan hasil, manakala pendatang haram dilaporkan memasang semula khemah yang baru dirobohkan oleh pasukan tentera Israel semalam,” katanya.

Beralih ke Gaza, beliau menyatakan petugas kemanusiaan meneruskan usaha menyampaikan bantuan penting kepada penduduk di Semenanjung yang dikepung itu, meskipun terpaksa berdepan situasi tidak selamat serta kawalan ketat yang berterusan.

“Minggu lalu, pihak kami bersama rakan kerjasama menggerakkan bantuan pantas bagi mereka yang kehilangan tempat berteduh atau terpaksa berpindah semula ekoran serangan, kebakaran kawasan kediaman dan pelbagai insiden lain.

Banyak insiden dilaporkan, menyaksikan penduduk kehilangan tempat tinggal dan harta benda akibat serangan yang menjejaskan hampir 290 isi rumah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top