firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengendali skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara, Nafuzi Zain mengakui beliau menyasarkan slot separuh akhir sebelum mengintai tiket ke final saingan Piala AFF B-23 di Jakarta, Indonesia, bermula 15 Julai ini.
Katanya, bagi memastikan sasaran ke separuh akhir menjadi kenyataan, beliau menggesa anak didiknya memberi fokus sepenuhnya menentang Filipina dalam aksi pertama Kumpulan A itu.
Jelasnya, kemenangan ke atas Filipina adalah penentu hala tuju pasukan sebelum turun menentang dua lagi pasukan termasuk Brunei dan lawan terkuat, Indonesia.
“Saya lebih fokuskan dulu perlawanan dengan Filipina kerana saya rasa itu perlawanan paling penting dan penentuan untuk kita ke separuh akhir.
“Memang dari segi sasaran nak ke perlawanan akhir, tetapi kita tahu saat yang penting adalah bertemu Filipina.
“Kalau kita melepasi separuh akhir, InsyaAllah peluang ke final itu cerah,” ketika ditemui pihak media pada sesi latihan pasukan, semalam.
Berdasarkan format saingan, hanya tiga juara kumpulan dan satu naib juara terbaik akan mara ke separuh akhir apabila Nafuzi menyasarkan untuk melangkah ke pusingan berikutnya.
Untuk rekod, pencapaian terbaik negara di saingan B-23 itu hanyalah meraih tempat keempat sebanyak dua kali iaitu pada 2005 dan 2023.
© New Straits Times Press (M) Bhd