GAZA CITY – Sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh dalam serangan udara Israel di Gaza pada Khamis, termasuk 12 mangsa yang berlindung di sebuah sekolah yang dijadikan pusat perlindungan pelarian, kata Agensi Pertahanan Awam Gaza.
Menurut pegawai pertahanan awam, Mohammad al-Mughayyir, kebanyakan mangsa yang terbunuh dalam serangan ke atas sekolah berkenaan terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.
Tentera Israel bagaimanapun belum mengesahkan serangan tersebut.
Insiden itu berlaku ketika perang Israel-Hamas memasuki bulan ke-22, dengan operasi ketenteraan Israel semakin meluas dan menyebabkan hampir keseluruhan dua juta penduduk Gaza hilang tempat tinggal.
Ramai penduduk yang melarikan diri daripada pertempuran kini menumpang di sekolah, namun premis pendidikan itu turut menjadi sasaran serangan yang didakwa Israel sebagai lokasi persembunyian pejuang Hamas.
Di lokasi serangan di Gaza City, rakaman menunjukkan kanak-kanak kecil berkeliaran dalam bangunan yang hangus dan musnah, manakala penduduk setempat mengais runtuhan dan barangan rosak yang berselerak di lantai.
Seorang wanita, Umm Yassin Abu Awda yang ditemui di Hospital Al-Shifa berkata:
“Ini bukan kehidupan. Kami sudah cukup menderita. Dua tahun kami berjuang hanya untuk sekeping roti.
“Kalau kamu (Israel) mahu tamatkan semuanya, bom nuklear saja kami. Kalau tidak, biarlah hati nurani dunia ini bangkit,” katanya kepada AFP.
Mughayyir turut melaporkan enam orang terbunuh akibat tembakan tentera Israel ketika mereka sedang menunggu bantuan kemanusiaan di Gaza Tengah.
Katanya, tembakan itu juga menyebabkan ramai lagi cedera.
Beberapa lagi serangan turut dilaporkan pada hari sama. Tiga penduduk terbunuh dalam serangan artileri di Beit Lahia, utara Gaza, manakala seorang maut dalam serangan di Jabalia.
Di selatan Gaza, tiga orang dilaporkan terbunuh dalam satu serangan ke atas khemah pelarian di kawasan pantai Al-Mawasi.
Bagaimanapun, AFP tidak dapat mengesahkan jumlah korban berikutan kekangan media dan kesukaran untuk mengakses lokasi serangan di Gaza.
Dalam kenyataan balas, tentera Israel berkata, mereka sedang meneliti laporan berhubung serangan tersebut.
Mereka menegaskan operasi dijalankan bertujuan ‘melumpuhkan keupayaan ketenteraan Hamas’ sambil mematuhi undang-undang antarabangsa dan cuba mengurangkan kematian orang awam.
Namun, desakan untuk gencatan senjata terus meningkat, termasuk gesaan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang mencadangkan tempoh damai selama 60 hari dengan sokongan Israel.
Walaupun rundingan gencatan senjata masih berlangsung menerusi perantara, Israel tetap bertegas untuk meneruskan matlamat memusnahkan Hamas.
Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben Gvir pada Rabu menyeru agar operasi diperhebatkan, malah mencadangkan Gaza ditawan sepenuhnya dan penduduknya ‘dipindahkan’ ke luar wilayah.
“Kita perlu selesaikan misi ini. Kita mesti jatuhkan Hamas, kuasai Gaza dan galakkan perpindahan penduduk,” katanya dalam satu wawancara TV.
Menurutnya, menumbangkan Hamas adalah satu-satunya jalan untuk membebaskan baki tebusan yang masih ditahan di Gaza.
Menurut Kementerian Kesihatan wilayah itu yang dikendalikan Hamas, serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 yang mencetuskan perang ini mengorbankan sekurang-kurangnya 57,012 orang di Gaza, juga majoritinya orang awam. – AFP