EAIC dedah Pegawai Imigresen langgar prosedur kemasukan warga Ghana

EAIC dedah Pegawai Imigresen langgar prosedur kemasukan warga Ghana

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengesyorkan tindakan tatatertib dikenakan terhadap seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang didapati melanggar prosedur kemasukan warga asing ke negara ini.

Syor itu dibuat susulan siasatan EAIC terhadap aduan berkaitan tindakan pegawai terbabit yang didakwa tidak mematuhi prosedur berhubung kebenaran masuk seorang warga Ghana melalui Pejabat Imigresen Bukit Kayu Hitam, Kedah pada 18 November tahun lalu.

“Hasil siasatan mendapati pegawai berkenaan melanggar perenggan 4.1 Pekeliling Imigresen Malaysia (PIM) Bil. 19 Tahun 2002, yang memperuntukkan bahawa pemegang pasport negara Afrika hanya dibenarkan memasuki Malaysia melalui pintu udara sahaja,” menurut EAIC dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, siasatan dijalankan mengikut subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700).

Sehubungan itu, EAIC memutuskan untuk merujuk kes berkenaan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib JIM dengan syor supaya tindakan diambil terhadap pegawai terbabit.

Tindakan tatatertib itu mengikut Peraturan 38, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993], atas kesalahan ingkar perintah mengikut Peraturan 4(2)(i) peraturan sama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top