Washington: UFC secara rasmi mengesahkan rancangan untuk menganjurkan pertarungan di perkarangan Rumah Putih tahun depan sempena sambutan ulang tahun ke-250 penubuhan Amerika Syarikat (AS).
Perkembangan itu disahkan kepada portal The Athletic semalam, sehari selepas Presiden Donald Trump membocorkan hasrat berkenaan kepada penyokongnya dalam satu majlis di Iowa.
“Kita akan adakan pertarungan UFC di Rumah Putih, bayangkan,” kata Trump.
“Kita ada banyak tanah di situ… akan ada pertarungan kejohanan penuh UFC.”
Trump, yang juga sahabat baik Presiden UFC, Dana White, kerap hadir ke acara UFC, termasuk UFC 309 beberapa hari selepas menang pilihan raya November lalu serta beberapa pertarungan pada April dan Jun tahun ini.
Selepas kenyataan Trump itu tular, White memuat naik semula video ucapan berkenaan ke Instagram dengan kapsyen: “Ia akan menjadi EPIK!!”
Setakat ini, UFC belum mengumumkan tarikh rasmi mahupun butiran lanjut mengenai senarai pertarungan yang dirancang.
Namun jika berjaya direalisasikan, ia akan menjadi acara sukan profesional pertama dalam sejarah yang dianjurkan di kawasan rasmi Rumah Putih.
© New Straits Times Press (M) Bhd