Inter Miami mahu Messi kekal

Inter Miami mahu Messi kekal

Miami: Lionel Messi mungkin masih belum menamatkan kisah gemilangnya bersama Inter Miami apabila kelab Major League Soccer (MLS) itu dilaporkan sedang merundingkan lanjutan kontrak bintang Argentina itu selepas musim 2025.

Menurut laporan ESPN, Inter Miami berharap Messi, 37, akan terus menyarung jersi mereka sekurang-kurangnya sehingga musim 2026, bertepatan dengan pembukaan rasmi stadium baharu mereka, Miami Freedom Park.

Messi yang menyertai Miami pada Julai 2023 dengan kontrak Pemain Ditentukan (Designated Player) selama dua setengah tahun, sebelum ini menyatakan bahawa Inter Miami akan menjadi kelab terakhirnya sebagai pemain profesional.

Namun, pemilik bersama Inter Miami, Jorge Mas, masih optimis untuk menyaksikan legenda No 10 itu mengetuai pasukan pada hari pembukaan stadium baharu pada Mac 2026.

“Saya pernah katakan bahawa impian saya ialah melihat Messi merasmikan stadium baharu kami. Tapi keputusan itu sepenuhnya milik Messi,” kata Mas kepada ESPN.

“Dia seorang yang sangat kompetitif. Dia mahu menang. Harapan kami ialah untuk meraih lebih banyak trofi bersama Messi di Inter Miami dalam beberapa tahun akan datang.”

Sejak menyertai kelab itu, Messi membantu Inter Miami menjulang trofi pertama dalam sejarah kelab, Leagues Cup 2023 dan Supporters’ Shield 2024, serta mencatat rekod mata tertinggi dalam satu musim MLS.

Messi juga dinamakan Pemain Paling Bernilai (MVP) MLS 2024 selepas menyumbang 31 gol dan 22 bantuan jaringan dalam 38 perlawanan liga, selain membawa Miami ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia Kelab sebelum tewas kepada Paris Saint Germain.

Rundingan kini tertumpu kepada kesinambungan peranan Messi sebagai wajah utama projek bola sepak Miami menjelang musim bersejarah 2026.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top