nooratiqah.sulaiman@bh.com.my
Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan Lawatan Kerja ke Rio de Janeiro, Brazil bermula hari ini sehingga Isnin bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-17.
Kehadiran Anwar ke sidang kemuncak itu atas jemputan Presiden Republik Persekutuan Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva selaku Pengerusi BRICS bagi tahun ini.
Sesi lawatan itu turut diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man dan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah.
Penyertaan Malaysia dalam Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-17 ini adalah selaku Negara Rakan BRICS dan Pengerusi ASEAN 2025.
Wisma Putra memaklumkan, menerusi sidang kemuncak itu Malaysia akan berkongsi pandangan dan keutamaan strategik negara mengenai cabaran global penting.
“Perdana Menteri akan menyampaikan Kenyataan Negara dalam sesi Strengthening Multilateralism, Economic-Financial Affairs, and Artificial Intelligence dan Environment, COP30 and Global Health.
“Intervensi Perdana Menteri ini mencerminkan komitmen teguh Malaysia dalam memperkukuh multilateralisme dan memperjuangkan suara serta kepentingan negara membangun, sejajar dengan matlamat teras BRICS 2025.
“Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia akan berusaha memperkukuh jalinan kerjasama antara ASEAN dan BRICS bagi mempertingkatkan kerjasama serantau dan perkongsian ekonomi, serta menyumbang kepada usaha kolektif ke arah ekonomi global yang lebih adil dan mampan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sidang kemuncak berkenaan ialah mesyuarat pertama Ketua-Ketua Negara dan Kerajaan daripada Negara-Negara Anggota dan Negara-Negara Rakan BRICS.
Malaysia secara rasminya menjadi Negara Rakan BRICS pada 1 Januari lalu.
Di bawah Kepengerusian Brazil, BRICS akan memberi tumpuan kepada enam keutamaan utama iaitu kesihatan global, perdagangan, pelaburan dan kewangan.
Selain itu, antara yang akan diberi tumpuan termasuklah berkaitan isu perubahan iklim, kecerdasan buatan, reformasi tonggak keselamatan dan keamanan dalam hubungan pelbagai hala serta pembangunan institusi BRICS.
“Tumpuan ini adalah selari dengan keutamaan nasional Malaysia dan komitmen berterusan negara terhadap pembangunan yang inklusif dan mampan,” menurut Wisma Putra.
Mengulas lanjut, Wisma Putra berkata, Anwar juga dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan-rakan sejawatnya dari Negara-Negara Anggota dan Negara-Negara Rakan BRICS, serta mengadakan perbincangan dengan syarikat Brazil dan Malaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd