
Ahmad Shapawi (duduk, empat kiri) dan Raja Mohammed Firhad (tengah) bersama para penerima sumbangan pada Program Prihatin Sukan: Untukmu Jaguh Negara di Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada Jumaat. Foto Bernama.
SEMBILAN bekas atlet kebangsaan yang pernah mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa diraikan dalam satu program istimewa, Prihatin Sukan: Untukmu Jaguh Negara.
Program dianjurkan pelajar semester tiga Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sukan, Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam itu turut mendapat kerjasama Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) serta disertai 85 pelajar fakulti tersebut.
Mereka menerima sumbangan berupa barangan keperluan asas dan wang tunai.
Pengerusi YAKEB, Datuk Ahmad Shapawi Ismail menyifatkan usaha tersebut sebagai satu bentuk penghargaan bermakna buat bekas atlet negara.
“Penghargaan seperti ini memberi semangat dan dorongan kepada bekas atlet negara. UiTM merupakan sebuah institusi yang dekat dengan dunia sukan negara dan beberapa bekas atlet di bawah YAKEB menerima penghargaan melalui program ini.
“Kami amat terharu dan berbangga dengan inisiatif ini. Ia menyuntik semangat kepada bekas atlet yang berdepan cabaran hidup, malah membuktikan mereka tidak dilupakan,” katanya.
Bekas atlet yang diraikan pada program itu ialah Muhamad Habibullah Mohd Saleh dari sukan bermotor, pemain hoki dan bola sepak, Perry Khoo Eu Hock serta Kamarul Zaman Yussoff, atlet bina badan, R Palavendiran dan Muhammad Koh Abdullah (powerlifting).
Turut diraikan ialah empat bekas atlet para termasuk Zul Amirul Sidi Abdullah (renang), Ahmad Amil Husin (boling para), Zulkifli Mat Zin (memanah para) dan David Cherian (ping pong).
Dalam pada itu, Dekan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Profesor Madya Dr Raja Mohammed Firhad Raja Azidin berkata, program tersebut adalah inisiatif memperkukuh hubungan universiti dengan komuniti sukan negara terutama bekas atlet.
“Mereka adalah wira negara yang memerlukan bantuan. Kami amat prihatin dengan cabaran yang mereka tempuhi.
“Sebagai sebuah institusi yang dikenali di peringkat global dan berakar umbi secara lokal, UiTM mengambil serius tanggungjawab sosial ini,” katanya.