Bakti Che Adam, derma darah kali ke – 100

Bakti Che Adam, derma darah kali ke – 100

am@hmetro.com.my

Melaka: Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi pegawai kanan pertama agensi itu yang berjaya menderma darah buat kali ke 100 di Hospital Melaka, semalam.

Malah, kesibukan tugas tidak menghalang beliau meneruskan usaha itu menerusi projeknya, ‘My Blood Donation Trans City 2023-2026’ bagi mempromosikan aktiviti menderma darah khususnya kepada belia dan remaja di seluruh negara.

Che Adam berkata, projek derma darah tanpa sempadan itu dimulakan sejak 2023 dan tercetus sebagai aspirasi buat penderma darah di seluruh negara.

Katanya, beliau menderma darah kali pertama pada usia 21 tahun ketika berkhidmat di Hospital Seremban, Negeri Sembilan.

“Sebagai orang Islam niat pertama saya untuk menginfakkan darah. Saya nak bantu Kementerian Kesihatan, Jabatan Kesihatan Negeri dan juga tabung darah di seluruh Malaysia supaya orang ramai tidak takut untuk datang menderma darah kerana prosesnya mudah.

“Kita tahu darah ini sangat diperlukan oleh pesakit, ibu mengandung, mangsa kemalangan jalan raya dan sebagainya sebab sehingga sekarang tidak ada lagi teknologi untuk mencipta darah seperti darah manusia sebenar,” katanya ditemui di Pusat Pendermaan Darah, Jabatan Perubatan Transfusi Hospital Melaka.

Hadir sama, Pakar Perunding Transfusi merangkap Ketua Jabatan Perubatan Transfusi Hospital Melaka, Dr Nor Amiza Mat Amin dan Pengarah APM Melaka, Leftenan Kolonel Kamarulsyah Muslim.

Che Adam berkata, selepas ini beliau akan ke lokasi terakhir di Semenanjung iaitu di Johor Bahru dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi sebelum ke Sarawak dan Sabah bagi melengkapkan projek itu.

Katanya, di setiap lokasi beliau juga melakukan promosi awal termasuk meminta bantuan pengarah APM negeri untuk menggalakkan penyertaan anggota dalam menderma darah.

“Bagi APM Pahang sendiri, kita sentiasa konsisten menganjurkan kempen derma darah kalangan pegawai dan anggota setiap tiga bulan sekali,” katanya.

Sementara itu, Dr Nor Amiza memuji usaha Che Adam mempromosikan aktiviti menderma darah dalam kalangan belia dan berharap dicontohi individu atau pun organisasi.

Beliau berkata, pusat pendermaan darah itu yang baharu dibuka merekodkan peningkatan ketara bilangan penderma darah dengan purata sehari 20 hingga 30 orang.

“Seluruh Melaka dalam sehari kita perlukan 80 beg darah berbanding kutipan kira-kira 2,500 beg sebulan.

“Jadi buat masa ini tidak berlaku kekurangan bekalan darah di Melaka, malah kita sebenarnya turut membantu dengan menghantar ke negeri-negeri lain yang memerlukan misalnya ke Sabah,” katanya.

Beliau berkata, meskipun tidak berdepan isu kekurangan bekalan darah, pihaknya sentiasa menggalakkan orang ramai menderma darah kerana ia tidak boleh disimpan selamanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top