zanariah_mutalib@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Golongan berpengaruh termasuk pemimpin dan selebriti perlu menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat dalam pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
Presiden Kesatuan Jururawat Malaya (MNU), Nor Hayati Abd Rashid, berkata pematuhan SOP adalah tanggungjawab semua peringkat masyarakat, namun pada sama, golongan berpengaruh perlu memainkan peranan mereka membantu kerajaan mengajak rakyat untuk terus patuh kepada SOP.
“SOP ini berkuat kuasa kepada semua orang tanpa mengira golongan. Sikap tidak peduli dan berfikir apa yang berlaku kepada orang lain tidak akan berlaku kepada diri sendiri perlu dibuang kerana COVID-19 tidak mengenal siapa anda.
“Kebelakangan ini, banyak isu pelanggaran SOP dan menarik perhatian umum terutama dalam kalangan mereka yang berpengaruh. Golongan ini sepatutnya menunjukkan contoh yang baik dalam pematuhan SOP untuk terus dihormati, bukan hanya membayar denda setiap kali melakukan kesalahan.
“Kita mesti rasional. Dalam situasi ini, ramai yang sudah lama tidak dapat merentas negeri untuk pulang menziarahi ibu bapa, ada yang tiada makanan di atas meja dan ada yang masih belum mendapat kerja selepas diberhentikan,” katanya kepada BH, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas peranan dan tanggungjawab rakyat dalam pematuhan SOP, ketika situasi COVID-19 dalam negara berada pada tahap membimbangkan.
Nor Hayati berkata, ramai yang salah anggap dengan menyangka pengambilan vaksin membolehkan mereka bergerak ke mana saja tanpa perlu memikirkan risiko jangkitan.
“Bagi golongan yang berisiko rendah, kita tidak nampak kesan COVID-19 ini, tapi jika melihat bagaimana mereka yang dijangkiti yang tercungap-cungap untuk bernafas dan ia terjadi pada keluarga sendiri, ketika itu baru kita tahu betapa teruknya kesan virus ini.
“Sudah lebih setahun virus ini ada dalam komuniti kita. Kita sepatutnya sudah tahu apa yang perlu dilakukan. Jika tidak, sampai bila kita perlu hidup dalam situasi ini?” katanya.
Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam (Epidemiologi & Biostatistik) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman, dalam nada yang sama turut meminta rakyat di semua peringkat mematuhi SOP dan memperkukuh usaha membendung penularan.
“Ini terutama membabitkan golongan ternama dan mempunyai reputasi. Mereka perlu menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat.
“Hadis Rasulullah SAW terhadap larangan ke kawasan wabak perlu dilaksanakan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




