
Intan Sarah Anisah – Foto: FAM
KAPTEN skuad bola sepak wanita negara, Intan Sarah Anisah Zulgafli menyifatkan semangat berpasukan dan keyakinan dalam setiap pemain menjadi kunci membara prestasi semasa Malayan Tigress ketika ini.
Skuad Malayan Tigress kendalian Joel Cornelli kini berada pada tahap terbaik untuk mara ke temasya edisi Australia 2026 selepas meraih dua kemenangan, dan akan berdepan Korea Utara dalam aksi terakhir Kumpulan H.
Kemenangan 1-0 ke atas Palestin, diikuti jaringan sama ke atas pasukan tuan rumah, Tajikistan, menyaksikan Intan Sarah dan rakan sepasukan berada dalam landasan terbaik untuk mara ke edisi Australia 2026.
Begitupun, pendahulu Kumpulan H, Korea Utara,menjadi halangan terbesar buat Intan Sarah dan rakan-rakan untuk melangkah ke pusingan seterusnya selepas pasukan pilihan itu meraih kemenangan meyakinkan 10-0 masing-masing ke atas Tajikistan dan Palestin.
“Tahap keyakinan setiap pemain adalah tinggi ketika ini dalam misi melakar sesuatu menentang Korea Utara nanti.
“Ini juga kali pertama saya bermain dalam Kelayakan Piala Asia, jadi ia satu pencapaian besar buat saya.
“Kita juga kena terus percaya pada diri sendiri dan pasukan. Tiada yang mustahil. Kita buat yang terbaik untuk perlawanan terakhir menentang Korea Utara,” katanya.