ASEAN: 10 agenda keselamatan dibincang September ini – Saifuddin

ASEAN: 10 agenda keselamatan dibincang September ini – Saifuddin

Semporna: Sebanyak 10 agenda keselamatan akan menjadi fokus perbincangan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Keselamatan ASEAN di Melaka, September ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang akan mempengerusikan mesyuarat berkenaan berkata satu daripada agenda itu ialah menangani jenayah rentas sempadan.

Beliau berkata perkara lain termasuk perkongsian risikan, pembinaan keupayaan dan operasi bersama.

“Dalam menangani jenayah rentas sempadan, kita manfaatkan kepengerusian ASEAN pada tahun ini sebagai platform terbaik bertukar maklumat, pandangan agar boleh diolah menjadi strategi dalam menangani isu keselamatan secara efektif,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Taklimat dan Tinjauan Keselamatan Menteri Dalam Negeri Bersama Perwakilan Asing, di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata mesyuarat tiga hari itu akan dimanfaatkan pada peringkat menteri ASEAN sepenuhnya, bagi membentangkan dan membincangkan isu keselamatan ASEAN demi kepentingan bersama.

“Ada perkara yang kita nampak, tetapi ada juga perkara yang kita tidak nampak, tapi jiran (negara) kita nampak, ini antara yang boleh disampaikan dalam mesyuarat ASEAN nanti,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top