
Jumlah tersebut merangkumi kira-kira 16 peratus daripada keseluruhan 440 kematian tentera yang direkodkan sepanjang operasi ketenteraan di wilayah Palestin berkenaan. Foto Agensi
BAITULMAQDIS – Sekurang-kurangnya 31 askar Israel dilaporkan terbunuh akibat tembakan pasukan sendiri sepanjang operasi darat tentera Zionis di Genting Gaza, menurut laporan Army Radio pada Jumaat.
Stesen radio rasmi tentera itu memaklumkan, jumlah itu adalah sebahagian daripada 72 kematian anggota yang diklasifikasikan sebagai ‘insiden operasi’ sejak Israel melancarkan serangan darat ke atas Gaza pada 27 Oktober 2023.
Jumlah tersebut merangkumi kira-kira 16 peratus daripada keseluruhan 440 kematian tentera yang direkodkan sepanjang operasi ketenteraan di wilayah Palestin berkenaan.
Daripada angka itu, 31 maut akibat tembakan pasukan sendiri, manakala 23 lagi terkorban dalam insiden berkaitan peluru, tujuh maut selepas digilis kenderaan perisai, dan enam lagi ditembak dalam insiden yang tidak diperincikan, lapor Army Radio.
Sejak serangan tentera Israel disambung semula pada 18 Mac lalu, dua daripada 32 kematian tentera yang direkodkan adalah akibat insiden operasi, menurut laporan sama.
Tambahnya lagi, lima askar turut maut akibat kemalangan semasa bertugas termasuk terjatuh dan kecuaian semasa menggunakan peralatan kejuruteraan. Salah satu insiden berlaku pada Khamis malam, namun tiada maklumat lanjut didedahkan.
Data rasmi tentera Israel menunjukkan seramai 882 askar terbunuh dan 6,032 lagi cedera sejak perang tercetus pada 7 Oktober 2023.
Walaupun dikecam hebat oleh masyarakat antarabangsa dan menerima desakan untuk menghentikan serangan, rejim Zionis terus melancarkan serangan besar-besaran di Gaza yang sehingga kini telah meragut lebih 57,000 nyawa rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut Kementerian Kesihatan di wilayah terkepung itu.
Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant atas tuduhan melakukan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel turut berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung kekejamannya di wilayah berkenaan. – AFP



