PKS Malaysia semakin bersedia terima AI

PKS Malaysia semakin bersedia terima AI

Kuala Lumpur: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia semakin bersedia menerima teknologi kecerdasan buatan (AI) sebagai pemacu pertumbuhan perniagaan, didorong tahap kesedaran digital yang semakin tinggi serta keperluan meningkatkan daya saing dalam persekitaran perniagaan yang lebih mencabar.

Pengarah Asia Tenggara SingleInterface, Punit Sharma berkata, ekosistem PKS di Malaysia yang semakin matang dari segi penggunaan teknologi menjadikan negara ini pasaran berpotensi untuk penerapan penyelesaian berasaskan AI, khususnya dalam pemasaran hiper tempatan.

Katanya, teknologi AI kini bukan lagi eksklusif untuk syarikat besar, sebaliknya mampu membantu PKS mengoptimumkan strategi pemasaran, memahami tingkah laku pelanggan dan meningkatkan hasil perniagaan menerusi pendekatan lebih bersasar.

“Apabila kita bercakap mengenai AI, ramai melihatnya sebagai teknologi yang mahal. Namun, perkara penting ialah bagaimana perniagaan boleh menggunakan teknologi itu untuk mendapatkan nilai terbaik daripada pelaburan yang dibuat.

“Bagi PKS yang mempunyai bajet pemasaran terhad, penggunaan AI membolehkan mereka mengurus sumber dengan lebih cekap dan memastikan setiap perbelanjaan memberikan pulangan yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran SingleInterface di Malaysia, platform pemasaran hiper tempatan berasaskan AI yang membantu perniagaan pelbagai lokasi mengurus perjalanan pelanggan daripada carian digital sehingga kunjungan ke premis fizikal.

Menurut Punit, perubahan tingkah laku pengguna menjadikan kehadiran digital sebagai faktor penting dalam menentukan keputusan pembelian.

Katanya, pelanggan kini lazimnya memulakan perjalanan pembelian menerusi platform digital seperti Google Search, Google Maps serta enjin carian berasaskan AI termasuk ChatGPT, Gemini dan Perplexity sebelum membuat keputusan untuk mengunjungi sesuatu lokasi.

“Perjalanan pelanggan kini tidak lagi bergerak secara mudah daripada dalam talian ke luar talian, mereka mungkin mencari produk secara dalam talian, datang ke kedai untuk melihat sendiri produk dan kembali membuat pembelian melalui platform digital.

“Justeru, jenama perlu mengurus keseluruhan perjalanan ini dengan lebih baik bagi memastikan mereka menjadi pilihan pertama apabila pelanggan membuat carian tempatan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Negara SingleInterface Indonesia dan Malaysia, Yenny Stutts berkata, Malaysia dipilih sebagai pasaran pengembangan kerana tahap kematangan digital negara ini serta ekosistem PKS yang kukuh.

Beliau berkata, kebanyakan perniagaan tempatan sudah menyedari kepentingan digitalisasi, namun cabarannya adalah mendapatkan alat yang sesuai untuk memanfaatkan teknologi itu bagi meningkatkan jualan dan pendapatan.

“Malaysia mempunyai ekosistem digital yang stabil dengan penggunaan pelbagai platform seperti e-dagang, aplikasi mudah alih dan perkhidmatan digital lain. Ini menjadikannya pasaran yang sesuai untuk penyelesaian pemasaran hiper tempatan,” katanya.

Menurut beliau, SingleInterface kini mempunyai tiga pelanggan perusahaan besar di Malaysia yang telah menggunakan platform berkenaan sejak awal 2025.

Platform itu membantu jenama mengurus maklumat lokasi perniagaan, analisis prestasi digital, interaksi pelanggan serta reputasi dalam talian menerusi teknologi AI.

Yenny berkata, penggunaan AI turut membantu syarikat menangani maklum balas pelanggan dengan lebih pantas, sekali gus meningkatkan pengalaman pengguna dan reputasi jenama.

“Apabila pelanggan memberikan ulasan atau maklum balas, tindak balas pantas daripada jenama amat penting. AI membantu mewujudkan interaksi yang lebih baik antara perniagaan dan pelanggan,” katanya.

Dalam usaha memperkukuh operasi di Malaysia, SingleInterface turut mengumumkan kerjasama strategik bersama Arbell Pare dan BlackGrid Digital sebagai rakan penjual rasmi syarikat di negara ini.

Kerjasama itu meliputi khidmat perundingan tempatan, pelaksanaan sistem, latihan serta sokongan pelanggan kepada syarikat yang ingin memanfaatkan teknologi pemasaran hiper tempatan.

Ditubuhkan di India pada 2014, SingleInterface kini menyokong lebih 400 jenama perusahaan dan lebih 450,000 lokasi perniagaan di Asia, Afrika Selatan serta Timur Tengah.

Syarikat berkenaan mengendalikan keseluruhan kitaran pertumbuhan tempatan merangkumi penemuan pelanggan, membuat keputusan pembelian, penukaran jualan serta pelaksanaan strategi menerusi automasi AI, pengurusan kehadiran digital berpusat dan analisis perniagaan.

Pengembangan ke Malaysia itu menandakan langkah penting dalam strategi pertumbuhan serantau SingleInterface bagi membantu perniagaan memanfaatkan ekonomi digital yang semakin dipacu teknologi dan perubahan tingkah laku pengguna.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top