London: Kejohanan Wimbledon sekali lagi menjadi tumpuan apabila sistem teknologi garisan automatik Hawk Eye dikecam selepas satu insiden yang didakwa ‘merampas’ mata penting milik pemain Rusia, Anastasia Pavlyuchenkova, dalam aksi pusingan ke-16 menentang bintang tuan rumah, Sonay Kartal.
Insiden berlaku ketika kedudukan 4-4 pada set pertama di gelanggang utama apabila Anastasia berada pada mata untuk memenangi permainan dan pukulan Sonay dilihat jelas keluar oleh penonton serta tayangan ulang semula, namun tiada panggilan keluar dibuat oleh sistem.
Anastasia menghentikan permainan, namun selepas rujukan dilakukan, pengadil Nico Helwerth memutuskan mata perlu diulang kerana sistem Hawk Eye gagal mengesan trajektori bola.
Keputusan itu menyebabkan Anastasia kehilangan rentak dan servisnya dipatahkan, sekali gus mencetus kemarahan pemain berusia 32 tahun itu yang menyuarakan ketidakpuasan hatinya ketika rehat.
“Sebab dia pemain tuan rumah, mereka boleh buat apa saja. Kamu rampas permainan itu dari saya. Mereka curi permainan itu dari saya. Kamu curi dari saya!” katanya lantang kepada pengadil.
Walaupun jelas berang, Anastasia bangkit semula dan berjaya memenangi set pertama.
Kontroversi ini sekali lagi mencetuskan persoalan terhadap keberkesanan sistem garisan automatik, terutama di kejohanan berprestij seperti Wimbledon yang tidak lagi menggunakan penjaga garisan manusia sejak 2021.
© New Straits Times Press (M) Bhd




