am@hmetro.com.my
Bayan Lepas: Bekas penjaga gol Pulau Pinang, Allahyarham Firos Mohamed, 53, yang rebah lalu meninggal dunia ketika beraksi dalam Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru Legends All Stars di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Perak, malam tadi, tidak menghidap penyakit serius atau mempunyai sejarah komplikasi jantung.
Isterinya, Fildaanis Mat, 51, berkata arwah dilihat cergas dan bersemangat sepanjang perlawanan selain sempat menyelamatkan beberapa percubaan pasukan lawan sebelum insiden itu berlaku.
Menurutnya, arwah juga sepatutnya menghantar anak bongsu mereka, Mohamed Faiiriel Danish, 18, ke Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Bangi, Selangor hari ini untuk memulakan pengajian dalam jurusan Diploma Pengurusan Sukan.
“Apabila saya lihat dia tiba-tiba rebah saya terkejut. Suami memang seronok dan bersemangat menyertai perlawanan semalam dan seminggu kebelakangan ini memang sibuk dari pagi sampai petang mempersiapkan keberangkatan pasukan cuma dua minggu sebelum itu dia demam dan ada muntah sedikit selepas diberi ubat demam.
“Suami mengatur dan mendapat tajaan tiga bas serta jersi untuk pasukannya dan saya juga menaiki satu daripada bas itu bersama suami dari hotel tempat kami menginap pada hari perlawanan itu.
“Sebenarnya kami juga ada bawa kereta sendiri dari Pulau Pinang kerana bercadang untuk terus bertolak dari Manjung mendaftar anak ke KPTM Bangi pada hari ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Masjid Ridwaniah Sungai Batu, Teluk Kumbar di sini, hari ini.
Terdahulu, lebih 100 ahli keluarga, sahabat handai dan penduduk setempat mengiringi pengebumian jenazah Firos yang selamat disempurnakan pada kira-kira 4.30 petang tadi dan Allahyarham sebelum itu dikafankan dan disolatkan di Surau Kampung Melayu, dekat sini selepas solat Zuhur.
Sementara itu, jurulatih yang juga Presiden Persatuan Bekas Pemain Bola Sepak Pulau Pinang, Radzuan Putah, 60, berkata Allahyarham mengadu berasa sakit di bahagian dada ketika menjalani latihan kira-kira seminggu sebelum perlawanan berlangsung.
“Tetapi dia tidak membuat pemeriksaan kesihatan lanjut dan dia beritahu saya keadaannya sudah okay. Semasa dalam bas kami berbual dan bergurau seperti biasa.
“Sebelum perlawanan, arwah ada menolak untuk turut serta semasa perbarisan masuk pemain tetapi apabila saya kata ada 20 kanak-kanak sudah sedia untuk mengiringi pemain dia akur untuk masuk (barisan).
“Arwah rebah pada separuh masa kedua, iaitu hanya kira-kira dua minit sebelum perlawanan tamat. Kami ada dua penjaga gol beraksi pada perlawanan yang secara keseluruhan berlangsung selama 30 minit ketika itu kami sudah ketinggalan 1-0 di belakang pasukan ‘Ex Kedah’,” katanya.
Sementara itu, Mohd Azmi Ali, 57, yang juga bekas pemain pertahanan Pulau Pinang berkata, dia yang bertindak sebagai pengurus pasukan pada perlawanan malam tadi bergegas meluru ke tengah padang apabila melihat sahabat yang dikenali sejak lebih 30 tahun lalu itu rebah dan tidak sedarkan diri.
“Mula-mula ketika saya panggil namanya ada reaksi dan petugas kesihatan bagi bantuan pernafasan dan buat AED selama dua kali sebelum dia dikejarkan ke hospital.
“Kami bermain bola bersama sejak berusia 12 tahun. Arwah juga seorang daripada enam pemain yang terpilih menyertai program latihan bersama kelab terkemuka, Barcelona pada tahun 90-an,” katanya.
Mohd Azmi berkata, selepas bersara Allahyarham Firos menubuhkan Akademi Bola Sepak Pulau Pinang dan bertindak melatih pasukan akar umbi yang terdiri daripada remaja dan kanak-kanak itu secara sepenuh masa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




