JPJ kaji konsep baharu institut memandu

JPJ kaji konsep baharu institut memandu

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengkaji untuk melaksanakan konsep baharu di Institut Memandu (IM) bagi menambah baik sistem sedia ada dan mengatasi masalah lambakan calon menunggu tempoh latihan mendapatkan lesen memandu.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, perkara itu masih di peringkat kajian oleh Bahagian Pelesenan Ibu Pejabat JPJ Putrajaya.

“Ia masih dalam kajian dan penelitian pihak pelesenan dan kita juga sedang mengenalpasti kawasan yang mempunyai kepadatan tinggi dengan tempoh menunggu calon di IM yang terlalu lama.

“Konsep baharu IM yang bakal ditubuhkan itu mengambil idea negara maju untuk dilaksanakan di negara ini. Sekiranya konsep itu dipersetujui (kerajaan), kita akan buka cadangan ini kepada IM berminat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program Mylesen B2 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan dan Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam.

Pada majlis itu, seramai 915 peserta berjaya menamatkan latihan dan ujian lesen memandu di bawah Program MyLesen B2 anjuran JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Menurut Aedy, program itu sebagai manifestasi komitmen JPJ dalam memperkasa keselamatan jalan raya sertamemperluas akses pemilikan lesen sah kepada golongan belia B40.

Ditanya mengenai amaran menarik balik lesen peserta program berkenaan sekiranya didapati terbabit aktiviti haram termasuk rempit dan melanggar peraturan jalan raya, beliau berkata, ini bagi memastikan pemegang lesen sentiasa mematuhi undang-undang ditetapkan.

Katanya, JPJ tidak mahu mana-mana individu yang mendapat lesen B2 di bawah program itu mengambil mudah dan sewenang-wenangnya melanggar peraturan jalan raya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top