Pesara bank rugi RM690,000 diperdaya 'phone scam'

Pesara bank rugi RM690,000 diperdaya 'phone scam'

am@hmetro.com.my

Georgetown: Pesara pengurus bank berputih mata diperdaya sindiket penipuan ‘phone scam’ membabitkan nilai kerugian hampir RM690,000.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, maklumat diterima pihaknya susulan laporan yang dibuat mangsa warga emas berusia 80 tahun itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, di sini, semalam.

Katanya, mangsa yang tinggal di Tanjung Bunga menerima panggilan telefon daripada lelaki tidak dikenali pada 12 Jun lalu serta memperkenalkan diri sebagai wakil CyberSecurity Malaysia (CSM) di Putrajaya.

Suspek mendakwa nama mangsa sudah disenarai hitam kerana nombor telefon miliknya terbabit dalam aktiviti penyebaran maklumat palsu.

“Panggilan itu disambung kepada suspek yang mendakwa pegawai polis dari Balai Polis Alor Setar, Kedah dan mangsa diberitahu bahawa akaun bank miliknya disyaki terbabit dalam kes pengubahan wang haram.

“Mangsa juga diminta membuka akaun di dua bank atas namanya bagi tujuan membersih nama dan mengelak daripada ditahan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut Mohd Alwi berkata, selepas menurut arahan itu, mangsa membuat sebanyak empat kali transaksi pemindahan wang berjumlah RM680,781.00 secara dalam talian ke dua akaun baharu terbabit.

Suspek juga meminta mangsa menyerah slip pembukaan akaun, kad mesin pengeluaran automatik (ATM) serta semua kad kredit miliknya dan dimasukkan ke dalam sampul surat sebelum ditinggalkan di atas kotak pencawang elektrik berhampiran sebuah bank di Tanjung Bunga.

“Mangsa kemudian membuat semakan ke atas ketiga-tiga akaun bank miliknya dan mendapati semua wang sudah dipindah ke akaun bank pihak ketiga yang tidak dikenali sebelum membuat laporan polis bagi siasatan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi kesalahan penipuan,” katanya.

Menurut Mohd Alwi, masyarakat dinasihati supaya berhati-hati dengan panggilan telefon mencurigakan, terutama yang meminta maklumat peribadi atau butiran perbankan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top