Canberra: Penerbangan sebuah pesawat di Australia tertunda selama dua jam selepas seekor ular ditemui bersembunyi di dalam ruang simpanan kargo.
Portal news.sky.com melaporkan, reptilia itu ditemui ketika penumpang menaiki Penerbangan Virgin Australia VA337 di Lapangan Terbang Melbourne menuju ke Brisbane.
Penangkap ular Mark Pelley berkata dia menyangka haiwan itu adalah berbisa selepas menghampirinya dalam gelap.
Bagaimanapun, ia adalah ular daun sepanjang 60 sentimeter (sm)yang tidak berbahaya.
“Selepas saya menangkap ular itu barulah saya sedar bahawa ia bukan berbisa,” kata Pelley.
Katanya, ular itu tersembunyi di belakang panel dan dia bimbang ia boleh menyelinap masuk ke dalam pesawat.
“Saya mempunyai satu peluang untuk menangkapnya, dan jika ia terlepas ia akan masuk ke dalam panel dan pasti sukar untuk ditangkap,” katanya kepada Sky News.
Pelley berkata, dia memberitahu jurutera pesawat dan kakitangan syarikat penerbangan pesawat itu perlu dikosongkan jika ular itu hilang.
“Tapi syukur, saya dapat menangkapnya dengan percubaan pertama.
“Jika tidak, kami terpaksa menggeledah sebuah pesawat Boeing 737 bagi mencari ular itu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



