hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Uncle Aedy, tujuan Nurul Amani menulis surat ini adalah untuk mengucapkan ribuan terima kasih atas segala bantuan dan sokongan diberikan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan kerajaan Madani kepada Nurul Amani dan mama, baru-baru ini.
“Nurul Amani sangat menghargai kebaikan dan keprihatinan semua terutama dalam menjayakan Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program MyLesen B2 yang diadakan pada Jumaat lalu (20 Jun).”
Demikian coretan Nurul Amani Zabani, 17, yang memperoleh lesen menerusi program MyLesen B2 dalam surat tulisan tangan kepada Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli yang digelar sebagai ‘Uncle Aedy’.
Surat tanda penghargaan itu dikongsi JPJ dalam Facebook jabatan berkenaan, malam ini.
Penerima bantuan lesen di bawah Program MyLesen B2 Tahun 2025 itu menzahirkan terima kasih dan penghargaan kepada JPJ serta kerajaan kerana merealisasikan hasratnya dengan bantuan lesen memandu secara percuma.
“Kami mendoakan agar JPJ Malaysia dan Kerajaan Malaysia Madani sentiasa berdiri teguh dan memperbanyakkan lagi inisiatif untuk membantu rakyat atau meneruskan lagi program lesen memandu percuma MyLesen B2 ini supaya dapat mengurangkan kes kesalahan memandu tanpa lesen pada masa akan datang”, tulisnya.
JPJ dalam hantaran memaklumkan, Nurul Amani dan ibunya, Asma Aziz, 51, menerima lesen berkenaan pada Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program MyLesen B2 Peringkat Pulau Pinang, 20 Jun lalu.
Katanya, penerima berkenaan sebelum ini pernah menyerahkan surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada lawatan rasminya ke Pulau Pinang dan menyatakan hasrat ingin menyertai Program MyLesen B2 kerana tidak berkemampuan.
“Program MyLesen Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2025 sudah membantu seramai 993 penerima yang layak mendapat Lesen Memandu B2.
“Penerima bantuan Lesen Memandu Malaysia Kelas B2 (motosikal) terdiri daripada pelajar sekolah, penuntut IPT dan golongan belia di Pulau Pinang,” kata hantaran itu.
JPJ memaklumkan akan terus melaksanakan inisiatif yang berorientasikan rakyat terutama dalam peningkatan sosioekonomi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




