Anak Bella Astillah curi tumpuan ramai

Anak Bella Astillah curi tumpuan ramai

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Anak kepada Bella Astillah, Ayden Adrean, 8, mencuri tumpuan apabila berjaya menamatkan perlumbaan triatlon pertamanya dalam kategori Super Sprint di acara International Multisport Coastal Fest 2025 di Desaru, Johor, baru-baru ini.

Ayden membuktikan keberanian luar biasa apabila berjaya menamatkan cabaran itu walaupun berdepan detik cemas apabila kehilangan pelampung keselamatannya ketika fasa renang sejauh 300 meter.

Detik mencemaskan berlaku apabila Ayden terpaksa berpatah balik ke pantai selepas pelampung keselamatannya hilang ketika berenang.

“Saya nak teruskan berenang, tapi bila saya cari pelampung, saya nampak ia dah hanyut ke tengah laut. Saya takut kalau saya terus ke tengah, nanti saya lemas,” katanya.

Walaupun berdepan situasi itu, penganjur membenarkan Ayden meneruskan bahagian basikal dan larian bagi menggalakkan semangat penyertaan kanak-kanak.

Ayden turut berkongsi perasaannya selepas selesai acara yang menggabungkan 300 meter renang, 10 kilometer berbasikal dan dua kilometer larian itu.

“Saya sangat penat ketika berbasikal, tetapi saya tidak pernah putus asa. Ini pertandingan paling seronok yang saya pernah cuba,” katanya.

Ayden berkata, dia hanya berlatih selama seminggu dengan bimbingan jurulatih peribadi sebelum menyertai acara ini, selain pernah berenang di laut terbuka sejauh 400 meter di Langkawi sebagai persediaan.

Bella yang turut kelihatan di garisan penamat meluahkan rasa sebak dan bangga dengan pencapaian anaknya.

“Saya tak pernah paksa Ayden untuk sertai, asalkan dia berminat, saya akan terus beri sokongan. Saya memang risau masa dia tidak muncul semasa kayuhan tadi, tapi itu memang perasaan biasa seorang ibu.

Selain memberi sokongan moral, Bella turut menegaskan kepentingan aktiviti sukan untuk keseimbangan gaya hidup terutama dengan makanan enak yang menjadi budaya rakyat Malaysia.

“Acara macam ini penting untuk menggalakkan rakyat kekal sihat dan aktif,” katanya.

Bella berkata, dia tiada perancangan untuk turut serta dalam acara ini tetapi akan terus menemani dan memberi semangat kepada Ayden.

Acara International Multisport Coastal Fest 2025 di Desaru tahun ini menyaksikan lebih 900 peserta dari 25 negara bertanding dalam empat kategori utama iaitu 113 Triathlon (2.25km renang, 90km basikal, 21km larian), Olympic Distance, Sprint Distance dan Super Sprint yang disertai oleh Ayden.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top